Kaji cerun lebih terperinci elak tanah runtuh berulang - Sultan Pahang

Kaji cerun lebih terperinci elak tanah runtuh berulang – Sultan Pahang

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah (tengah) berkenan melawat kawasan tanah runtuh di Kampung Orang Asli Sungai Ruil di Cameron Highlands, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bertitah agar pihak berkaitan dapat melakukan kajian khusus tentang cerun agar kejadian tanah runtuh tidak berulang di negeri ini.

Baginda bertitah, penilaian tersebut perlu dilakukan khususnya di kawasan melibatkan penempatan penduduk bagi memastikan ia selamat diduduki.

“Saya harap pihak yang pakar tentang cerun seperti JKR (Jabatan Kerja Raya), JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) membuat tinjauan dan kajian terperinci supaya ada satu penilaian khusus terutama di kawasan yang banyak penduduk agar kejadian sama (tanah runtuh) tidak berulang.

“Kita perlukan kajian ini, kita perlu nasihat dan pandangan yang tepat bagi mengatasi kejadian cerun atau tanah runtuh terutama di tempat sama. Kita nak bagi keyakinan seandainya tempat yang dihuni mereka adalah selamat atau sebaliknya,” titah baginda ketika berkenan berangkat bercemar duli melawat Kampung Orang Asli Sungai Ruil di sini hari ini.

Sempena lawatan itu baginda turut berkenan menyampaikan kurniaan sumbangan kepada 12 buah keluarga yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh pada Isnin lalu.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menasihatkan penduduk terlibat agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling terutamanya ketika musim hujan.

“Kita tak boleh lari dari masalah cerun dan tanah runtuh ini kerana ia adalah ‘natural force’ (kuasa alam), namun ia bukan hanya berlaku di Pahang tetapi juga di tempat lain seperti di Selangor baru-baru ini,” titah baginda.

Pada 7 Oktober lalu, seramai 70 penduduk terdiri daripada 12 buah keluarga terbabit dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sungai Ruil selama 11 hari susulan kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur di perkampungan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN