Jurusolek didakwa cederakan anak angkat hingga patah kaki - Utusan Malaysia

Jurusolek didakwa cederakan anak angkat hingga patah kaki

S. ASOK KUMAR (dua dari kanan) dan. T.C. Peter (dua dari kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang jurusolek didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal patah kaki terhadap seorang kanak-kanak lelaki yang merupakan anak angkatnya berusia enam tahun, dua tahun lalu.

Tertuduh, S. Asok Kumar, 35, yang juga transgender bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ketika kejadian sehingga menyebabkan kecederaan fizikal iaitu patah kaki kanan.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Desa Rusa, Batu 4, Port Dickson lebih kurang pukul 7.30 petang pada 3 November 2022.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dikenakan hukum denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd. Radzuan tidak menawarkan sebarang jaminan keranan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

Peguam, Dinesh Muthal yang mewakili Asok Kumar kemudian memohon jaminan yang minimum dan memberitahu anak guamnya merupakan transgender kini menanggung ibunya yang dirawat di hospital akibat sakit berkaitan mental.

“Tertuduh merupakan transgender bekerja sebagai jurusolek yang mana tidak semua orang menerima komuniti mereka. Pendapatannya juga bermusim hanya ketika musim perkahwinan sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan,” katanya.

Jelas Dinesh, sepanjang tahun 2022 tertuduh memberikan kerjasama yang baik kepada pegawai penyiasat dan dia hanya ditangkap baru-baru ini melibatkan kes lain tetapi mangsa yang sama.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Port Dickson sekali sebulan sehingga kes selesai. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 November depan.

Dalam pada itu, di kamar Mahkamah Sesyen berasingan, seorang pengemas bilik hotel tidak mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa sama iaitu kanak-kanak lelaki berusia enam tahun pada September lalu.

Tertuduh, T.C. Peter, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyebabkan kecederaan fizikal ke atas kanak-kanak lelaki berusia enam tahun. Kesalahan itu lokasi sama lebih kurang pukul 10 malam, 30 September lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dikenakan hukum denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd. Saubian menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 dan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Peguam Mohd. Hanif Hassan yang mewakili Peter memberitahu, daripada segi hubungan mangsa dalam kes itu merupakan anak angkat kepada rakannya yang turut dituduh di mahkamah hari ini.

Mohd. Hanif kemudian memohon jaminan yang paling minimum untuk anak guamnya dengan alasan tertuduh menghidap sakit buah pinggang dan menanggung ibunya yang menghidap sakit sama.

“Tertuduh mempunyai sakit buah pinggang dan ada temu janji berkala dengan pihak hospital. Dia tinggal dengan ibu bapanya di Port Dickson,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan Peter diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 November depan.

Pada 8 Oktober lalu, media melaporkan jurusolek antara tiga lelaki yang ditahan polis susulan penemuan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dalam keadaan tanpa pakaian dengan kesan luka pada badan dalam bilik sebuah rumah di Batu 4, Port Dickson baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, kesemua suspek berusia antara 32 hingga 36 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3 pagi pada 3 Oktober lalu di Taman Desa Rusa dan Taman Dataran Segar, Lukut.

Kejadian itu diketahui selepas seorang wanita warga emas yang menjaga mangsa sebelum ini berasa tidak sedap hati selepas gagal menghubungi mangsa.

Menurut beliau, siasatan mendapati kanak-kanak tersebut merupakan anak yatim yang kematian bapa dan ditinggalkan oleh emak kandung sejak zaman kecil.

Mangsa kemudiannya telah dijaga oleh pengadu di Klang, Selangor sebelum diserahkan kepada bapa angkat pada tahun 2021.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya