JS-SEZ dijangka sebabkan peningkatan kos sara hidup - MB - Utusan Malaysia

JS-SEZ dijangka sebabkan peningkatan kos sara hidup – MB

ONN HAFIZ Ghazi menjawab soalan dalam Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka akan menyebabkan berlaku peningkatan kos sara hidup di daerah Johor Bahru, termasuk melibatkan nilai hartanah.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, itu merupakan antara cabaran utama yang perlu ditangani kerajaan negeri dan Pusat dalam memastikan pelaksanaan JS-SEZ memberi manfaat kepada semua golongan.

“Peningkatan kos sara hidup akan memberi cabaran kepada rakyat tempatan, terutamanya golongan B40 dan M40. Mereka mungkin berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi yang pesat.

“Namun, beberapa langkah mengatasi cabaran itu akan dilaksanakan termasuk merangka dasar bertujuan meningkatkan kuantiti projek perumahan mampu milik untuk rakyat Johor, terutamanya di kawasan JS-SEZ,” katanya menjawab soalan Datuk Jefridin Atan (BN-Kukup) tentang kesan pelaksanaan JS-SEZ dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata, antara cabaran lain termasuk persaingan mendapatkan tenaga kerja berkualiti susulan banyak peluang pekerjaan baharu yang akan diwujudkan.

“Ini secara tidak langsung bakal menarik minat ramai pihak, termasuk dari luar Johor serta mengundang permintaan tenaga mahir dari luar negara.

“Antara kesan lain termasuk risiko berlakunya ketidakseimbangan pembangunan infrastruktur di kawasan-kawasan luar bandar atau lokasi yang tidak termasuk dalam zon ekonomi ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri telah menubuhkan Johor Talent Development Council (JTDC) dalam aspek ketersediaan tenaga kerja selain beberapa inisiatif seperti program latihan kemahiran, peningkatan kapasiti teknikal serta kolaborasi dengan institusi pendidikan dan industri.

“Tujuannya adalah untuk memastikan anak-anak Johor diperlengkapkan dengan kemahiran yang sesuai kehendak pasaran pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya