JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan Johor tidak akan menjadi mundur jika cuti hujung minggu dikekalkan pada Jumaat dan Sabtu, seperti yang diamalkan sekarang.
Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu berkata, cuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu bukan cuti biasa, sebaliknya mempunyai makna dari sudut sejarah dan budaya.
Katanya, Johor termasuk dalam kumpulan Negeri Melayu Tidak Bersekutu dalam Persekutuan Tanah Melayu, sama seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah yang cuti hujung minggu adalah pada Jumaat dan Sabtu.
“Negeri Melayu Tidak Bersekutu ini adalah negeri yang paling kurang pengaruh Inggeris, tidak sama seperti Negeri Melayu Bersekutu yang dipaksa cuti ikut kehendak penjajah Inggeris, iaitu pada hari Sabtu dan Ahad. Jadi, perubahan yang akan berlaku di Johor ini dalam soal hari cuti hujung minggu ini mempunyai makna yang tersendiri, iaitu melupakan pengertian budaya dan sejarah politik Johor sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, Johor telah dilimpahkan dengan kemajuan ekonomi dan infrastruktur berbanding negeri lain dalam negara ini walaupun cuti hujung minggu adalah pada Jumaat dan Sabtu.
“Hari Jumaat adalah hari yang mulia dalam Islam, ia mempunyai pengertian yang amat besar dan Johor tidak akan mundur jika Jumaat dikekalkan sebagai hari cuti sebagai menghormatinya. Rakyat Johor yang bukan Islam juga telah menerima hakikat budaya dan sejarah politik mengapa hari Jumaat adalah hari cuti di Johor,” tegasnya.
Jelas beliau, Johor pernah melaksanakan cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad, namun tidak bertahan lama kerana rakyat Islam di negeri ini tidak menyokong pelaksanaan itu.
“Sebagai seorang Ahli Parlimen dan rakyat Johor yang menghormati sejarah dan budaya negeri ini, saya tidak bersetuju untuk menukar hari cuti hujung minggu daripada Jumaat ke Ahad seperti dikehendaki penjajah Inggeris selama ini,” katanya.
Semalam, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah supaya cuti hujung minggu di negeri ini ditukar semula ke hari Sabtu dan Ahad, bermula 1 Januari 2025 dan perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Pada 2014, Sultan Ibrahim menitahkan cuti hujung minggu Johor ditukar ke hari Jumaat dan Sabtu. – UTUSAN