KUANTAN: Rokok seludup pelbagai jenama dan minuman keras bernilai kira-kira RM2.7 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang dalam serbuan di dua gudang di Taman Perindustrian Perdana Bukit Palong, Negeri Sembilan.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang, Mohd. Asri Seman berkata, serbuan pada 28 Oktober lalu dibuat hasil aduan awam dan risikan pihaknya.
“Hasil pemeriksaan di gudang pada pukul 8 pagi menemukan sejumlah 3,156,961 batang rokok pelbagai jenis dengan anggaran nilai sebanyak RM286,118.40 membabitkan jumlah cukai dan duti terlibat dianggarkan berjumlah RM2,112,205,44.
“Dalam serbuan kedua pada pukul 2 petang di sebuah lagi gudang berjaya menemukan minuman keras berjumlah 3,928.4 liter dengan anggaran nilai RM65,538.91 membabitkan jumlah cukai dan duti yang terlibat dianggarkan berjumlah RM227,597.74,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam di sini hari ini.
Mohd. Asri berkata, pihaknya turut merampas peralatan menyuling minuman keras dan tiada tangkapan dilakukan kerana tiada mana-mana individu berada di gudang berkenaan semasa serbuan dilakukan.
Menurutnya, rokok tidak berkastam didapati tidak memenuhi kriteria berdasarkan Butiran Satu (1), Bahagian Dua, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Jelasnya, bagi kes minuman keras pihaknya mendapati premis itu tidak dilesenkan untuk menyuling, menapai atau mengilang minuman keras yang memabukkan dan kes disiasat mengikut Akta Eksais 1976.
Katanya, berdasarkan siasatan mendapati rokok dan minuman keras berkenaan adalah untuk pasaran tempatan dan pihaknya masih menyiasat sumber bahan asas minuman keras yang dibotolkan.
“Kita juga masih menyiasat sama ada terdapat kaitan antara dua kes ini dan masih menyiasat tempoh operasi kedua-dua aktiviti yang menyalahi undang-undang ini,” katanya
Sementara itu, beliau berkata, dalam tempoh Januari hingga bulan ini, JKDM Pahang berjaya merampas pelbagai barangan tidak bercukai seperti rokok, minuman keras, kenderaan dan mercun bernilai kira-kira RM11.7 juta melibatkan 156 kes.
Katanya, daripada jumlah itu 51 individu telah berjaya ditahan dan sembilan individu telah didakwa manakala enam individu sedang menjalani hukuman. – UTUSAN