Jika saya penjual kacang putih tepi jalan, tiada siapa peduli – Tun M

Jika saya penjual kacang putih tepi jalan, tiada siapa peduli – Tun M

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, reputasinya tercalar ekoran kenyataan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkenaan ‘isu kutty’ yang disifatkan sebagai pembohongan, berniat jahat dan kejam.

Bekas Perdana Menteri memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, jika beliau bukan ‘siapa-siapa’, tiada pihak yang akan peduli terhadap kenyataan menghina yang menyentuh keturunannya seperti yang dikeluarkan oleh Ahmad Zahid yang ketika itu Presiden UMNO.

“Jika saya penjual kacang putih tepi jalan, saya tidak kisah. Tapi saya pemimpin parti politik dan calon pilihan raya, sudah tentu kenyataan tersebut memfitnah saya,’’ ujar beliau ketika disoal balas oleh peguam Mohd. Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid.

Dr. Mahathir, 99, memberi keterangan pada perbicaraan kes saman terhadap Timbalan Perdana Menteri kerana didakwa mengeluarkan kenyataan palsu yang mempersoal keturunan dan perjuangan politik beliau ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya, tujuh tahun lalu.

Beliau selaku plaintif selanjutnya berkata, kenyataan Ahmad Zahid memberi pengaruh yang besar kerana beliau pemimpin parti politik dan kata-katanya diambil serius oleh masyarakat.

Ujar bekas Perdana Menteri, kenyataan tersebut memburukkan nama beliau berdasarkan reaksi orang ramai sehingga menyebabkannya kehilangan undi dan penyokong.

“Orang ramai tiada pilihan untuk merujuk sama ada kenyataan itu betul atau palsu, tambahan pula beliau (defendan) pemimpin parti politik dan kenyataannya diambil serius.

“Pada peringkat awal, saya tidak rasa orang ramai mengambilnya sebagai sesuatu yang serius, namun saya lihat ramai yang komen dan memberi reaksi yang mencalar reputasi saya.

“Meskipun defendan tidak menyebut ‘Dr. Mahathir’, segala kenyataan itu merujuk kepada saya, bukan orang lain kerana beliau menggunakan ayat tertentu seperti ‘Melayu Mudah Lupa’,’’ ujar plaintif.

Bekas Perdana Menteri seterusnya menyatakan, beliau memfailkan tindakan saman kerana keengganan defendan memohon maaf meskipun selepas lima tahun kenyataan itu dikeluarkan.

Ujar beliau, dalam politik banyak cara untuk melemahkan pembangkang iaitu dengan menyerang peribadi atau mendakwanya dengan pertuduhan jenayah.

Jelas Dr. Mahathir, defendan cuba melemahkan beliau dengan cara menjejaskan reputasi menerusi kenyataan yang mengaitkan keturunannya serta mendakwa dia menipu.

Prosiding didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong. Dr. Mahathir diwakili Mior Nor Haidir Suhaimi dan Muhammad Rafique Rashid Ali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya