Jepun belasah Young Tigers 4-1 - Utusan Malaysia

Jepun belasah Young Tigers 4-1

PEMAIN negara, Ashraf Adam cuba melepasi dua pemain Jepun, Shogo Sasaki dan Jota Nakajima pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor di Stadium Johor, Taman Daya, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hasrat skuad remaja kebangsaan untuk meraih kemenangan pertama bukan sahaja tidak kesampaian, malah dibelasah Jepun 1-4 dalam aksi Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 di Stadium Hoki Johor, di sini sebentar tadi.

 

Semangat skuad samurai itu gagal dibendung pasukan kendalian I. Vikneswaran walaupun terlebih dahulu membuka jaringan.

 

Young Tigers dihadiahkan empat pukulan sudut penalti berturut-turut pada minit keenam, namun gagal menggegar jaring pasukan Jepun.

 

Pada minit kesembilan, giliran pasukan Jepun menguji keampuhan benteng pertahanan negara, namun pukulan sudut penalti yang diambil Koyo Nishada tidak menepati ke arah pintu gol Malaysia.

 

Anak buah Vikneswaran sekali lagi mempunyai peluang terbaik untuk mencipta jaringan menerusi gerakan Che Nur Aqilrullah Che Mohd. Khairulzi Anwar namun gagal disudahkan Muhammad Aqil Danial Mat Ruslee pada minit ke-17.

 

Skuad bimbingan Yoshihiro Anai terus diasak hebat, kali ini menerusi percubaan Adam Ashraf Mohd. Johari, namun berjaya ditepis keluar penjaga gol, Kisho Kuroda pada minit ke-20.

 

Empat minit berselang, pemain pertahanan, Andywalfian Jeffrynus berjaya membuat hadangan, sekali gus menafikan peluang terhidang buat Naru Kimura untuk memecahkan kebuntuan.

 

Memasuki suku ketiga, skuad remaja kebangsaan akhirnya berjaya meledak gol pembukaan pada minit ke-35 hasil jaringan gol padang Adam Ashraf bagi meletakkan Malaysia di hadapan.

 

Kelebihan itu tidak bertahan lama apabila pasukan lawan menyamakan kedudukan empat minit kemudian hasil jaringan Hyota Kamada menerusi pukulan penalti.

 

Kesilapan di bahagian pertahanan yang membuat hantaran lemah dipintaskan Kimura dan membuka ruang kepada Yuto Higuchi untuk menjaringkan gol pada minit ke-43.

 

Kapten, Yamato Kawahara dan Koyo Nishada menambah derita Young Tigers apabila meledak gol padang pada minit ke-48 menerusi percubaan dari sudut sukar.

 

Gawang pasukan tuan rumah bolos sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Koyo Nishada menewaskan penjaga gol, Mohamad Rafaizul Mohamad Saini pada minit ke-51, melengkapkan kemenangan bergaya 4-1.

 

Keputusan itu menyaksikan pasukan negara tersungkur ke kedudukan tercorot setelah gagal mengutip sebarang mata.

 

Terdahulu, pasukan India mengukuhkan kedudukan di tempat pertama apabila menewaskan Great Britain 6-4, dengan mengutip enam mata.

 

Sharda Nand Tiwari dan Dilraj Singh masing-masing meledak dua gol padang, manakala dua lagi gol dihasilkan oleh Dad Konain Mohd dan Singh Manmeet, juga menerusi gol padang, manakala gol pasukan Great Britain dihasilkan oleh Rory Penrose dan Michael Royden yang masing-masing meledak dua gol padang.

 

Dalam perlawanan berasingan, Australia mempamer kebangkitan bagi mengikat New Zealand 2-2 sekali gus meraih mata pertama dalam kejohanan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya