Jenazah empat sekeluarga selamat dikebumikan - Utusan Malaysia

Jenazah empat sekeluarga selamat dikebumikan

JENAZAH seorang daripada mangsa kemalangan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Payang Kayu, Hulu Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Jenazah empat sekeluarga yang maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 86, Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang, Kelantan semalam, selamat dikebumikan dalam dua liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Payang Kayu, di sini, hari ini.

Terdahulu, jenazah Mohd. Junaizi Jusoh, 48, dan isteri, Shazwani Ismail, 39, serta anak sulung mereka, Muhammad Fakrul Danish Mohd. Junaizi, 18. dan juga adik Shazwani iaitu Farhana Ismail, 35, dibawa menaiki empat van dari Hospital Gua Musang tiba di Kampung Payang Kayu, di sini, kira-kira pukul 7 pagi.

Empat jenazah itu kemudiannya dibawa ke Masjid Kampung Payang Kayu untuk disolatkan, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Payang Kayu pada pukul 8 pagi.

Mohd. Junaizi disemadikan dalam satu liang lahad bersama Muhammad Fakrul Danish manakala Shazwani selamat dikebumikan bersama Farhana kira-kira pukul 10 pagi.

Lebih 500 ahli keluarga dan saudara mara menghadiri pengebumian empat sekeluarga yang maut setelah terlibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Cameron Highlands untuk percutian keluarga.

Ahli keluarga serta dua anak Shazwani iaitu Nur Jihan Irdina Muhammad Junaizi, 13, dan
Nur Anis Zahra Nazihah, 12, kelihatan sugul dan bersedih dengan kehilangan kedua ibu bapa serta ibu saudara sekelip mata.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan lima maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta di Kilometer KM 86 Jalan Gua Musang-Lojing, di Gua Musang, Kelantan, semalam.

Pemandu lori jenis Nissan, G. Mageswara, 53, turut maut dalam nahas tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN