KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan terpaksa menyambung kerja-kerja memadamkan kebakaran di pusat pengumpulan kitar semula di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini yang sepatutnya ditamatkan petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Alam Nasut Ilias berkata, ia susulan pemeriksaan lanjut yang dilakukan mendapati bara api masih lagi wujud di lokasi kebakaran tersebut.
“Melihat kepada situasi itu, kami membuat keputusan untuk meneruskan operasi bagi memastikan api dipadamkan sepenuhnya.
“Pada masa sama, kita akan terus menggunakan jengkaut dalam membantu melancarkan tugas memadam kebakaran tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Online sebelum itu melaporkan, operasi pemadaman kebakaran di pusat pengumpulan kitar semula di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa dijangka tamat hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, penduduk di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, di sini gempar selepas sebuah kilang barangan kitar semula musnah dalam kejadian kebakaran pada Ahad lalu.-UTUSAN