'Jasad dua anak kaku dalam parit'

‘Jasad dua anak kaku dalam parit’

Dua anak
MUHAMMAD Yahya menunjukkan gambar dua anaknya yang lemas di kawasan parit di Kampung Melaka, Tanjong Karang, di Kuala Selangor, Selangor. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR – “Air mata ini mencurah selepas melihat jasad mereka terbujur kaku dan saya kehilangan dua anak dalam sekelip mata.”

Demikian rintihan pilu seorang bapa selepas menemukan dua anak lelakinya yang lemas di kawasan parit Kampung Melaka, Tanjong Karang di sini, semalam.

Tragedi menyayat hati itu menimpa Allahyarham Mohd. Rasul Iman Muhammad, 9 dan adiknya, Allahyarham Mohd. Abd. Qoyum, 7, yang tenggelam dalam parit berkenaan sedalam lebih 1.5 meter.

Muhammad Yahya, 58, berkata ketika kejadian dia mahu pulang ke rumah selepas memasak di rumah kenduri kenalannya di kampung itu, kira-kira pukul 6.30 petang.

“Namun, saya pelik melihat Rasul dan Qoyum tiada sebelum segera mencari mereka di seluruh kawasan kampung namun gagal. Saya kemudian ternampak bola dan selipar mereka dalam sebuah parit dan turun bagi mendapatkan kepastian,” katanya ketika ditemui dekat kediamannya di Parit 1 Sungai Burong, hari ini.

Ujar bapa kepada lima anak itu, hatinya luluh selepas menemui jasad Qoyum di dalam parit tersebut.

“Sebaik mengangkat dan meletakkan mayat itu di tebing, saya turun semula ke parit bagi mencari seorang lagi anam. Tidak lama kemudian, saya turut menemukan jasad Rasul tidak jauh daripada adiknya itu,” tuturnya.

Tambah Muhammad lagi, anak ketiga dan keempat itu mengikutnya untuk menyediakan juadah majlis kenduri arwah pada sebelah malam.

“Saya bantu memasak nasi dan lauk kicap di rumah rakan yang turut mengadakan majlis kenduri kahwin pada hari ini (Sabtu). Tidak sangka pula permintaan terakhir mereka itu menjadi petanda mereka pergi buat selamanya,” luahnya.

Terdahulu, jenazah dua beradik itu disembahyangkan di Surau Batu 11, Parit 1 sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bagan Tengkorak, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azharudin Tajuddin berkata, dua kanak-kanak itu dipercayai sedang bermain di kawasan parit sebelum terjatuh ke parit berkenaan.

Mangsa yang ditemukan bapanya kemudian dihantar ke Hospital Tanjung Karang sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan. Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian mangsa akibat mati lemas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya