JAS giat buru pelaku buang bahan kimia di Bukit Pelandok - Utusan Malaysia

JAS giat buru pelaku buang bahan kimia di Bukit Pelandok

S. VEERAPAN (tengah) Ketika melihat pelaksanaan ujian asap kenderaan diesel semasa Majlis Perasmian Sambutan Hari Ozon Sedunia Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2024 dan Penangguhan Operasi Bersepadu Kenderaan Bermotor di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, Arah Selatan, Lebuhraya Utara Selatan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan masih giat mengesan pelaku bertanggungjawab dalam kejadian pelupusan bahan sisa kimia secara haram di Bukit Pelandok, Port Dickson baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, siasatan lanjut terus dilakukan untuk mengenal pasti pihak yang terlibat supaya tindakan perundangan dapat diambil.

“Kita akan pastikan penjenayah alam sekitar ini dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukumannya. 

“JAS akan terus membuat siasatan termasuk terhadap pemilik tanah yang telah dikenal pasti, bagaimanapun pemilik tanah memaklumkan tidak mengetahui mengenai kejadian ini dan pelakunya, oleh itu siasatan terus dijalankan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Ozon Sedunia 2024 Peringkat Negeri Sembilan dan Penangguhan Operasi Bersepadu Kenderaan Bermotor di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, Arah Selatan, Lebuhraya Utara Selatan di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah JAS Negeri Sembilan, Hamzah Mohamad dan Pengurus Wilayah Tengah Plus, Hot Hamzah.

Baru-baru ini media melaporkan, ratusan tong dan tangki IBS disyaki mengandungi sisa kimia cat dan minyak ditemukan dibuang secara haram di Bukit Pelandok, Port Dickson.

Kesemua tong dan tangki IBS itu ditemukan di atas tanah milik persendirian serta lokasi buangan juga adalah terlindung di sebalik tembok malah akses masuk ke kawasan pembuangan juga diliputi belukar.

Tiada sebarang label pada tong-tong yang ditemukan tersebut yang disyaki telah ditanggalkan untuk mengelak pelaku dan punca buangan dikesan.

Mengulas lanjut, Veerapan berkata, pemilik tanah telah pun dikesan dan pihaknya mengarahkan pemilik tanah terbabit untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan pencemaran tersebut.

Tambahnya, sebanyak sembilan sampel tambahan juga telah diambil bagi proses bacaan Jabatan Kimia Malaysia.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Veerapan berkata, pada tahun ini aitu sehingga 30 September lalu, JAS Negeri Sembilan telah menjalankan sebanyak 31 operasi bersepadu bersama agensi-agensi penguatkuasaan terhadap kenderaan diesel.

“Menerusinya, sebanyak 78 kompaun bernilai RM156,000 telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan terlibat.

“Pihak JAS Negeri Sembilan akan sentiasa menjalankan rondaan bagi mengesan kenderaan-kenderaan diesel yang mengeluarkan asap hitam berlebihan dan seterusnya mengarahkan pemilik kenderaan tersebut membuat ujian di Puspakom sehingga lulus iaitu mencapai bacaan bawah 50 Unit Asap Hartridge (HSU),” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya