‘Jangan pinggirkan kami bila bangunkan Gunung Chamah’

‘Jangan pinggirkan kami bila bangunkan Gunung Chamah’

MASYARAKAT Orang Asli mahu mereka turut sama dilibatkan dalam pembangunan kawasan baharu di Gunung Chamah, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli di Pos Simpor di sini berharap mereka turut dilibatkan sama dalam pelan pemba­ngunan kawasan baharu di Gunung Chamah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Jamil Sulong, 48, berkata, ia bagi memastikan Orang Asli sebagai penduduk asal dikawasan turut menerima limpahan manfaat hasil pembangunan itu.

“Kami berharap pembukaan kawasan baharu itu mewujudkan kesan limpahan ekonomi dan sosial kepada penduduk Orang Asli, jangan pinggirkan kami.

“Selain itu, komuniti setempat juga diharapkan dapat me­raih manfaat ekonomi terutama pelancongan dan rekreasi, perniagaan kecil serta pembangunan prasarana,” katanya.

Bagi Zali Along, 40, pula, Gunung Chamah sebelum ini sudah menjadi tarikan kepada peminat sukan pendakian, namun masih ramai yang tidak mengetahui keindahan panoramanya.

Katanya, masyarakat Orang Asli berharap pembangunan secara terancang dan lestari dapat dilakukan seperti titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

“Alam sekitar sangat penting kepada masyarakat Orang Asli. Kami harap pembangunan yang dilakukan tidak memberi kesan buruk termasuk pencemaran sungai.

“Kami berharap segala perancangan dapat dilakukan dengan teliti serta tidak menjejaskan sumber kawasan hutan kami,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani melihat Gunung Chamah yang merupakan antara tujuh gunung tertinggi di semenanjung Malaysia memiliki potensi untuk menjadi destinasi pelancongan.

Katanya, Gunung Chamah yang merupakan gunung ke­dua tertinggi di Kelantan dan keenam tertinggi di semenanjung boleh dijadikan tarikan ramai terutama kepada peminat sukan pendakian dari dalam dan luar negara.

“Dalam usaha kita untuk membangunkan kawasan ini sebagai pusat ekonomi, aspek kelestarian alam sekitar sewajarnya menjadi keutamaan. Pemba­ngunan mestilah secara mampan dengan menjaga ekosistem semula jadi Gunung Chamah serta hutan di sekitarnya.

“Saya percaya bahawa de­ngan pelan pembangunan yang terancang dan mesra alam, kawasan ini boleh menjadi destinasi pelancongan yang unggul tanpa menjejaskan keseimba­ngan alam sekitar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya