Jambatan Parit Rambai tidak selamat

Jambatan Parit Rambai tidak selamat

MUSLIM Jupri menunjukkan keadaan Jambatan Parit Rambai, Sungai Sanglang, Pontian yang tidak selamat dilalui akibat rempuhan gumpalan rumput dan sampah-sarap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kira-kira 1,000 penduduk terpaksa menempuh perjalanan lebih jauh apabila jambatan Parit Rambai di Sungai Sanglang, dekat sini tidak selamat digunakan disebabkan struktur tiangnya bengkok.

Menurut Pengerusi Masjid Ar Rahman Parit Serong, Muslim Jupri, 52, tiang jambatan tersebut yang menghubungkan penduduk Sanglang dengan Kampung Parit Kahar, Ayer Baloi dan sekitarnya dikesan rosak akibat rempuhan gumpalan rumput yang membawa sampah-sarap hanyut lalu tersekat pada tiang tersebut, baru-baru ini.

“Papan tanda amaran dan penghadang telah diletakkan dari kedua-dua arah supaya orang ramai tidak menggunakannya bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Jambatan yang berusia lebih 40 tahun di bawah Projek Johor Barat (RJB) perlu segera dibina semula memandangkan ia merupakan laluan perhubungan desa yang penting kepada penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, sebelum ini dua buah jambatan lama iaitu Jambatan Parit Markom dan Jambatan Kampung Sepah Beruang runtuh akibat rempuhan rumput dan sampah-sarap yang hanyut.

“Jambatan di Kampung Permatang Sepam, Benut telah digantikan dengan Jambatan Bailey apabila tidak selamat untuk digunakan oleh orang ramai,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Shawal Hashim, 53, berkata, jambatan tersebut juga digunakan oleh murid-murid dari beberapa kampung di Sanglang untuk ke Sekolah Agama (SA) Seri Sekawan Desa di Parit Sulaiman.

Justeru, dengan penutupan jambatan Parit Rambai itu menyebabkan mereka terpaksa menggunakan Jalan Parit Jawa dengan jarak kira-kira lima kilometer untuk sekolah agama tersebut.

“Penduduk dari Kampung Parit Kahar, Parit Sulaiman dan Parit Maklumi untuk ke Sanglang juga terpaksa menggunakan Jalan Parit Makasar atau Jalan Pontian Benut yang jaraknya lebih jauh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya