Jalan utama ke Felda Bera Selatan runtuh, ditutup kepada semua kenderaan - Utusan Malaysia

Jalan utama ke Felda Bera Selatan runtuh, ditutup kepada semua kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Jalan utama yang menghubungkan tanah rancangan Felda Zon Bera ke Felda Bera Selatan di sini yang runtuh pada hari ini, ditutup kepada semua kenderaan.

Runtuhan di bahu jalan sepanjang 10 meter (m) berlaku pada pukul 1.15 pagi menyebabkan laluan itu tidak boleh digunakan di kedua-dua lorong.

Ketua Polis Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, kejadian berlaku berikutan hujan lebat berterusan beberapa jam pada waktu malam menyebabkan air sungai melimpah, sekali gus menyebabkan mendapan dan runtuhan bahu jalan.

“Polis menerima makluman orang awam tentang kejadian di Kilometer (KM) 20 Jalan Bera-Melati sekitar pukul 1.15 pagi tadi.

“Berdasarkan siasatan awal, mendapati mendapan dan runtuhan adalah sepanjang 10 meter dengan kelebaran 16 meter menyebabkan jalan ink terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Zulkiflee berkata, penduduk dari arah Melati ke Bera (dan sebaliknya) boleh melalui laluan yang dilencongkan di Jeti Sudin melalui Felda Triang 1.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Bera memaklumkan, pemasangan pelan pengurusan trafik di kawasan runtuhan serta tanda amaran lencongan sudah dilakukan.

Menurutnya, pemantauan berterusan di kawasan runtuhan dilaksanakan Roadcare (M) Sdn. Bhd. (RCSB) daripada masa ke semasa dan kejadian ini masih dalam siasatan bagi proses baikpulih.

“Hujan lebat beserta limpahan air sungai menyebabkan runtuhan bahu jalan dan jalan serta kerosakan pembetung jenis box (triple) twin size 2mx2m dan single size 2.3mx2.8m.

“Permohonan NOD terbaru dijangka membabitkan kos berjumlah RM400,000 dengan saiz box single box culvert tiga meter lebar x 2.7m tinggi,” katanya.

Zulkiflee menjelaskan, penutupan jalan itu bermula hari ini sehingga kerja-kerja baikpulih siap sepenuhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN