Jalan pintas siap 15 hari lebih awal, jimat RM1.5 juta - Utusan Malaysia

Jalan pintas siap 15 hari lebih awal, jimat RM1.5 juta

ZALIHA Mustafa merasmikan jalan pintas Felda Redong-Felda Selancar, Segamat yang dapat disiapkan 15 hari lebih awal dan menjimatkan RM 1.5 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Sebanyak RM1.5 juta berjaya dijimatkan apabila pembinaan jalan pintas Felda Redong-Felda Selancar, di sini dapat disiapkan 15 hari lebih awal daripada perancangan asal.

Menurut Ahli Parlimen Sekijang, Dr. Zaliha Mustafa, jalan pintas tersebut memudahkan pergerakan pengguna dari arah selatan Johor ke Pantai Timur dengan mengurangkan masa perjalanan daripada hampir satu jam menjadi hanya 37 minit.

“Jarak perjalanan sebelum ini adalah 49 kilometer tetapi dengan adanya jalan baharu ini jaraknya hanya 39 kilometer. Sebelum ini, kenderaan berat seperti treler lori tangki, kargo dan balak terpaksa melalui kawasan kampung, melintasi sekolah, masjid dan rumah-rumah penduduk sehingga menimbulkan isu keselamatan, terutamanya bagi anak-anak sekolah dan penduduk setempat.

“Alhamdulillah, projek ini berjaya disiapkan 15 hari lebih awal daripada jadual dengan penjimatan kos sebanyak RM1.5 juta daripada kos lebih RM31.24 juta. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat.

“Saya juga percaya jalan pintas ini akan membuka peluang ekonomi baharu, khususnya untuk generasi kedua Felda Redong yang penempatan mereka telah dirancang dalam Rancangan Tempatan Daerah 2030,” katanya ketika ditemui di Felda Redong, di sini.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berharap jalan baharu ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua pihak dan mengurangkan kesulitan yang dialami oleh penduduk sebelum ini.

“Saya ingin menarik perhatian kepada potensi peningkatan aliran kenderaan di persimpangan keluar Felda Redong-Labis, yang mungkin menyebabkan kesulitan bagi kenderaan yang ingin keluar ke arah bandar Segamat. 

“Keadaan ini boleh meningkatkan risiko kemalangan dan beberapa perkara yang tidak diingini boleh berlaku terutama sekali pada waktu malam atau cuaca hujan. Saya berharap pihak Jabatan Kerja Raya dapat mengkaji penyelesaian terbaik untuk mengatasi isu ini, mungkin dengan memasang lampu isyarat di persimpangan tersebut,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya