Istiadat perkahwinan Tengku Muhammad Iskandar, Tengku Natasha bermula esok - Utusan Malaysia

Istiadat perkahwinan Tengku Muhammad Iskandar, Tengku Natasha bermula esok

ISTIADAT perkahwinan Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan bermula esok dengan Istiadat Meletak Kerja di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Istiadat Perkahwinan Putera Diraja Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dengan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan dijadual bermula esok dengan Istiadat Meletak Kerja bertempat di pekarangan Istana Abdulaziz di sini.

Istiadat akan dimulakan dengan pelepasan 16 das tembakan meriam diikuti pembacaan Watikah Pengisytiharan Istiadat Meletak Kerja oleh Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan menaikkan Bendera Istiadat Meletak Kerja.

Majlis disusuli dengan bacaan doa bagi menyempurnakan Istiadat Meletak Kerja dianggarkan sekitar pukul. 9.30 pagi.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadualkan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad Shah 1 di sini, pukul 6.30 petang.

Pasangan pengantin diraja itu bakal dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Khamis ini di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz pukul 8 malam.

Seterusnya, istiadat akan diteruskan dengan Istiadat Berinai pada Jumaat dan Istiadat Persandingan Diraja pada Ahad.

Istiadat Perkahwinan Putera Diraja akan diteruskan mengikut susunan Adat Istiadat Pahang dengan Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan, Istiadat Bersiram dan Istiadat Menutup Kerja pada 28 Oktober nanti.

Istiadat Santap Adap-Adapan bermula pada pukul 4 petang dengan Tunku Azizah Aminah Maimunah dijangka menzahirkan Istiadat Menyuap Nasi Semangat kepada pasangan pengantin dan kemudiannya diteruskan dengan Istiadat Merenjis dan Bersiram.

Bacaan doa oleh Mufti Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim dilaksanakan sebelum Istiadat Bersiram dizahirkan.

Majlis Jamuan Teh pula akan bermula sebaik sahaja Pasangan Pengantin Diraja selesai Istiadat Bersiram.

Bagi mengakhiri semua istiadat, pengantin lelaki akan menurunkan Bendera Istiadat Menutup Kerja diikuti 16 das tembakan meriam oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta bacaan doa oleh mufti.

Istiadat Akad Nikah, Istiadat Berinai dan Istiadat Persandingan akan disiarkan secara langsung melalui dua layar besar di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Pekan yang mana pelbagai acara menarik disediakan di kedua-dua lokasi sepanjang Istiadat Perkahwinan Putera Diraja berlangsung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN