Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji pamer prestasi tinggi - Raja Perlis - Utusan Malaysia

Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji pamer prestasi tinggi – Raja Perlis

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail (tiga dari kiri) berkenan menghadiri Majlis Santapan Malam Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-81 di Dewan Serbaguna Markas 30 Briged Tentera Darat Malaysia, Kem Bukit Cowder, Mata Ayer, Arau, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji Rejimen Batalion Pertama (Istiadat) dan Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (RRD) telah mempamerkan prestasi yang cukup tinggi.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, prestasi yang ditunjukkan itu seharusnya dikekalkan selepas ini.

Baginda juga merangkap Tuanku Kolonel Yang Dipertua RRD bertitah, pada tahun hadapan negeri ini juga dijangka menjadi tuan rumah sekali lagi bagi Istiadat Mengarak Panji-Panji RRD dengan penglibatan semua 10 Batalion.

“Beta turut menyeru agar semua pihak untuk sama-sama menjayakan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

“Jemputlah datang ke Perlis dan melawat ke Kampung Warna Warni, Wang Kelian dan beberapa lokasi utama tumpuan pelancong di negeri ini,” titah baginda selepas berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Malam Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-81 di Dewan Serbaguna Markas 30 Briged Tentera Darat Malaysia di Kem Bukit Cowder, Mata Ayer, di sini.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Mejar (K) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Menyambut ketibaan baginda adalah Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri, Pengerusi RRD, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab, Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Fazal Abdul Rahman serta Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim.

Dalam pada itu, majlis santapan berkenaan dianjurkan bersempena Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji Rejimen Batalion Pertama Dan Batalion Kedua RRD.

Seramai kira-kira 500 tetamu melibatkan pegawai-pegawai RRD dan Kor Polis Tentera DiRaja Malaysia hadir bersama pasangan masing-masing pada majlis tersebut.

Dalam majlis sama, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menyempurnakan upacara memotong kek Ulang Tahun Keputeraan Baginda dengan disaksikan oleh tetamu yang hadir.

Malah, pelbagai persembahan istimewa turut disajikan terdiri daripada kalangan Pegawai RRD dan Kor Polis Tentera Diraja Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya