Insurans semua pertanian dalam berhadapan bencana - Utusan Malaysia

Insurans semua pertanian dalam berhadapan bencana

MOHD. Soffi Abd. Razak berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) ke-51 di Bentong, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Kerajaan disaran mewujudkan skim insurans membabitkan semua aktiviti pertanian sebagai satu jaringan keselamatan kepada pengusaha bidang tersebut yang ketika ini sering berdepan pelbagai risiko termasuk bencana alam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Mohd. Soffi Abd. Razak berkata, langkah itu perlu dalam memastikan pengusaha pertanian tempatan dan pelabur ke negara ini dapat terus melaksanakan aktiviti pertanian sekali gus menjamin agenda keterjaminan makanan negara.

“Kita hendak negara kita tidak terlalu bergantung kepada bekalan luar, jadi kita kena menghasilkan sumber makanan sendiri dan dalam konteks ini kita juga mahukan ramai pelabur luar dalam sektor pertanian.

“Bagaimanapun sektor pertanian ini mempunyai pelbagai risiko seperti cuaca, serangan musuh tanaman dan musibah yang tidak dijangka seperti banjir, jadi kalau boleh mohon jasa baik kerajaan mewujudkan jaringan keselamatan industri pertanian melalui perlindungan insurans,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) ke-51 di sini.

Menurut Mohd. Soffi, insurans pertanian merupakan keperluan dalam menjayakan agenda utama keterjaminan makanan negara supaya negara tidak terlalu bergantung kepada bekalan hasil pertanian daripada luar negara.

Justeru katanya, kerajaan harus memberi perhatian kepada perkara itu dengan segera dan mempertimbang untuk diperkenalkan skim insurans pertanian dalam bajet akan datang.

Menurutnya, insurans yang sudah diperkenalkan dalam penanaman padi pada masa ini perlu diperluaskan dan diperhalusi dengan melihat negara-negara luar yang banyak melaksanakan skim insurans membabitkan semua sektor pertanian.

“Kalau tidak nanti semua orang (pengusaha pertanian) takut, bila dia (pengusaha dan pelabur) menanam modal, bila ada bencana dan mereka terkesan akhirnya modal mereka tidak dapat balik, mereka tidak akan meneruskan aktiviti pertanian pada masa hadapan.

“Orang lain pula (pengusaha pertanian) yang melihat tidak berani hendak masuk (melabur dan mengusahakan pertanian, jadi akhirnya kita tidak dapat selesaikan agenda keterjaminan makanan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya