SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor atas pertuduhan mengambil dadah, empat tahun lalu.
Dalam prosiding yang dijalankan secara penstriman video, Hakim, Datuk Rohani membuat keputusan itu setelah menolak rayuan pihak pendakwaan berhubung kes terhadap Roslan Sam, 44.
“Setelah meneliti semua surat cara yang difailkan dalam membuat rayuan dan selepas menimbang hujahan dikemukakan, saya memutuskan rayuan perayu adalah ditolak.
“Keputusan justeru diberi oleh Mahkamah Majistret pada 6 November tahun lalu adalah dikekalkan. Saya berpuas hati dengan dapatan dan keputusan yang dibuat dan tidak bercadang mengubah atau memindanya,” katanya.
Terdahulu, pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan kes berkenaan pada 16 November tahun lalu.
Roslan yang bertugas di Bahagian Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dilihat menarik nafas lega dengan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.
Pada November 2023, media melaporkan Roslan Sam dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Seremban di sini hari ini atas pertuduhan mengambil dadah, empat tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Roslan didakwa telah mengguna dan memberikan kepada dirinya dadah berbahaya iaitu sejenis Ketamin, Emphatamin, Methamphetamin, Methylenedioxy–Emphatamin dan Methylenedioxy Methamphetamin.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 3 pagi di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini pada 27 September 2020.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah akta sama, yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi. Tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.-UTUSAN.