KOTA KINABALU: Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Gempur) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, akan membantu menangani ketirisan barang kawalan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, inisiatif ‘Kita Gempur’ di bawah kementeriannya itu adalah langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan barangan bersubsidi.
Beliau berkata, inisiatif tersebut akan turut mengekang penipuan perniagaan dalam talian (e-dagang), membanteras monopoli bermasalah dan kewujudan kartel dalam bentuk pakatan harga, pasaran, pengeluaran serta tipuan bida.
Katanya, inisiatif Kita Gempur akan turut memperkasa aspek penguatkuasaan dengan memberikan fokus kepada advokasi kepenggunaan dan advokasi Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-Berkat).
Dalam usaha menggerakkan agenda di bawah inisiatif ini, gerakan Kita Gempur menyasarkan kepada keterlibatan massa dan kebersamaan pelbagai pemegang taruh meliputi (K) agensi Kerajaan, (I) pemain Industri, (T) pematuhan Tatakelola dan (A) partisipasi Awam.
“Melalui sinergi yang diwujudkan, ia akan mengukuhkan kerjasama antara rakan strategik dengan penguat kuasa KPDN agar satu sistem pengawasan dan pelaporan yang lebih bersepadu dapat dilaksanakan.
“Menerusi gerakan ini, KPDN telah mewujudkan platform pelaporan khusus yang boleh diakses menerusi imbasan kod QR (Quick Response) yang menyediakan beberapa saluran rasmi bagi mengemukakan aduan kepada KPDN,” katanya.
Armizan berkata, sebagai langkah memaksimumkan penglibatan awam, KPDN akan memilih beberapa lokasi seperti pasar raya, premis perniagaan, dan stesen minyak seluruh Malaysia yang akan dijadikan sebagai titik tumpuan pelaporan aduan.
Kod QR Kita Gempur akan dilekatkan di lokasi-lokasi terbabit sebagai langkah untuk memudahkan penglibatan awam untuk melaporkan sebarang kes salah laku secara terus, mudah dan pantas.
Beliau turut menggesa masyarakat untuk bersama-sama menyokong inisiatif Kita Gempur dan menjadi sebahagian daripada gerakan massa agar aktiviti yang merugikan rakyat dan negara dapat dibanteras. – UTUSAN