ALOR GAJAH: Seorang penternak yakin enam ekor kambing peliharaannya yang ditemukan mati di dalam kandang berhampiran rumahnya di Kampung Bukit Tampoi dekat sini pada pagi Sabtu lalu dipercayai dibaham seekor harimau kumbang dan bukannya anjing.
Ab. Razak Ab. Rahim berkata, tidak mungkin anjing boleh mengheret seekor daripada enam kambingnya yang ditemukan pada jarak 200 meter berhampiran hutan tidak jauh dari kandang miliknya.
Ujarnya, sebelum ini empat ekor kambingnya mati digigit anjing tetapi kecederaan itu tidak seteruk berbanding enam ekor kambing yang mati dibaham harimau kumbang.
Selain itu katanya, semua kambingnya yang ditemukan mati tu cedera teruk di leher, perut terburai, kaki dan kepala membuktikan ia dilakukan oleh harimau kumbang.
“Sebelum ini ramai penduduk kampung telah melihat kelibat haiwan itu berkeliaran di merata-rata tempat di sekitar Kampung Bukit Tampoi.
“Saya tidak sangka enam kambing milik saya dibaham haiwan itu kerana ini adalah kejadian pertama menimpa saya sejak menjadi penternak tiga tahun lalu dan saya rugi hampir RM5,000.
“Kejadian itu menyebabkan saya bimbang lembu yang saya pelihara sebanyak 14 ekor pula akan menjadi mangsa,” ujarnya ketika ditemui di sini semalam.
Dalam pada itu, diminta mengulas insiden tersebut, Pengarah Perhilitan Melaka, Petra Sulai berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan awal di lokasi kejadian pada pukul 9 pagi, namun tidak menemukan sebarang kesan tapak kaki haiwan liar itu.
“Siasatan Perhilitan pula mendapati tiada hutan simpan berhampiran kampung berkenaan, justeru kita akan memasang kamera bagi mengenal pasti spesies yang terlibat dan akan memasang perangkap harimau di lokasi kejadian esok (hari ini),” katanya.
Ab. Razak berkata, ekoran kejadian tersebut dia memindahkan baki empat kambingnya ke tempat lain.
Ujarnya, pada Sabtu malam kawannya terlihat kelibat haiwan itu cuba menghampiri kandangnya namun menghilangkan diri selepas disuluh menggunakan telefon bimbit.
Terdahulu akhbar melaporkan enam ekor kambing milik seorang penternak mati selepas dipercayai dibaham seekor harimau kumbang di sebuah kebun di Bukit Tampoi, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada penternak itu pada 2.15 petang semalam, sebagai rujukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).