MACHANG: Seorang individu berdepan kompuan RM1,000 selepas tindakannya membuang sampah di luar tong di sebuah kawasan pembuangan sampah di daerah ini dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang berhampiran lokasi itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, individu itu melakukan kesalahan tersebut bawah Undang-Undang Kecil (UUK) MDM 5(2), Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2019.
Menurutnya, hukuman itu memperuntukkan kompaun sebanyak RM1,000.
“Individu terbabit diminta untuk tampil ke pejabat Majlis Daerah Machang (MDM) untuk menjelaskan bayaran kompaun yang dikenakan.
“Sekiranya gagal, pihak MDM akan mengambil tindakan tegas terhadap kesalahan yang dilakukan dengan kadar kompaun maksimum bagi kesalahan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hilmi memberitahu, MDM telah memasang CCTV di beberapa lokasi tapak tong sampah dan taman awam dalam usaha menjaga kebersihan di kawasan tersebut.
Katanya, pemasangan CCTV itu juga bagi memantau individu yang ingkar dan mengotorkan kawasan-kawasan tersebut.
“Semua penduduk nasihatkan supaya membuang sampah ke dalam tong sampah yang telah disediakan,” ujarnya.
Terdahulu, MDM memuat naik video rakaman CCTV yang memaparkan sikap individu yang membuang sampah di luar tong meskipun sudah berada di kawasan pembuangan sampah itu.-UTUSAN