JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam negeri ini berjaya mematahkan cubaan sindiket penyeludupan dadah dengan merampas 62 kilogram (kg) kokain di dalam kontena sejuk beku di Terminal Kontena, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), 1 Oktober lalu.
Pengarahnya, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, penemuan dadah bernilai RM12 juta itu merupakan rampasan terbesar dilakukan pihaknya pada tahun ini.
Hasil risikan selama sebulan, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas kontena yang diikrar membawa udang segar dan menjumpai 62 bungkusan plastik berbentuk segi empat yang disembunyikan di ruang pendingin hawa kontena.
“Siasatan awal mendapati dagangan telah diikrar sebagai udang segar sejuk beku berjumlah 19,000 kg yang bernilai RM735,000 dalam borang kastam. Pemeriksaan lanjut yang dilakukan ke atas salah satu bungkusan menemukan serbuk mampat berwarna putih yang disyaki dadah jenis kokain.
“Kita dapati kontena yang tiba tiga hari lalu itu dibawa dari India dan menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas sebagai transit sebelum dihantar ke Miami, Amerika Syarikat,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam, di sini hari ini.
Aminul Izmeer berkata, modus operandi sama turut dikesan ketika pihaknya membuat rampasan dadah di lokasi sama di dalam kontena, kira-kira lima bulan lalu.
“Pada Mei lalu, kita telah mengesan modus operandi yang sama apabila sindiket penyeludupan ini turut menyembunyikan ketulan dadah di ruang pendingin hawa kontena yang membawa muatan bawang.
“Kontena itu dibawa dari China turut menjadikan pelabuhan itu sebagai transit sebelum dihantar ke Kuching, Sarawak,” katanya sambil memaklumkan kemungkinan kegiatan penyeludupan dadah itu dilakukan sindiket yang berbeza.
Pihaknya turut menyiasat syarikat pengimport terbabit selain bekerjasama dengan agensi penguat kuasa di luar negara bagi membanteras kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN