Ikan bandar raya dominasi Sungai Mambau - Utusan Malaysia

Ikan bandar raya dominasi Sungai Mambau

KASIM Tawe (dua dari kiri) dan Yap Yew Meng (tiga dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada ikan bandar raya yang ditangkap pada Program Inventori Perikanan Darat dan Memburu Ikan Asing di Kampung Kayu Ara, Mambau, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ikan bandar raya atau hypostomus plecostomus menjadi spesies ikan invasif dikesan paling dominan di Sungai Mambau di Kampung Kayu Ara, di sini, dalam Program Inventori Perikanan Darat dan Memburu Ikan Asing yang diadakan selama dua hari yang bermula semalam.

Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, sehingga pukul 11 pagi tadi, sebanyak 1,094 kilogram ikan bandar  raya berjaya ditangkap sekali gus menunjukkan ikan asing berkenaan telah mendominasi sungai tersebut.

Menurutnya, inventori ikan asing berkenaan merupakan kali ketiga dilaksanakan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan di mana pada kali pertama dan kedua membabitkan ikan baung ekor merah di Sungai Triang, Jelebu serta ketiga di Sungai Muar di Tampin.

“Kali ini kita fokus inventori ikan bandar raya dan didapati kerosakan ekosistem di sini amat serius. Ikan ini merupakan ikan hiasan yang dibawa masuk negara ini awal tahun 1970-an bagi tujuan membersihkan akuarium.

“Oleh kerana tidak sampai hati untuk dibunuh jadi ikan ini dibuang ke sungai.mWalaupun boleh dimakan tetapi ikan ini bandar raya ini bersifat boleh merosakkan ekosistem dan lebih bahaya lagi apabila boleh mengundang runtuhan tebing.

“Sifat semula jadi ikan ini dia menggali lubang untuk menyimpan telur dan boleh mencapai satu meter ke dalam. Semakin besar ke dalam ada kemungkinan tebing (sungai) ini akan runtuh,” katanya.

Program tersebut disertai kira-kira 80 orang terdiri daripada ahli Pertubuhan Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya dan penduduk sekitar yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambau, Yap Yew Weng.

Sementara itu, berkenaan usaha jabatan bagi menjaga ekosistem di sungai negeri ini, Kasim memaklumkan sehingga September lalu sebanyak 730,000 anak atau benih ikan telah dilepaskan di 26 lokasi di sekitar negeri ini diikuti 16 lagi lokasi yang telah dikenal pasti untuk program pelepasan benih sehingga hujung tahun ini.

Bagaimanapun menurutnya, benih ikan buat masa ini tidak dapat dilepaskan di kawasan sungai yang didominasi ikan asing kerana benih berkenaan akan menjadi makanan ikan asing serta usaha membersihkan sungai perlu dipergiatkan lagi dengan kerjasama penduduk dari masa ke masa.

Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya, Mohamad Haziq A Rahman berkata, risiko kewujudan ikan bandar raya berlaku hampir di seluruh Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun menurutnya, populasi ikan bandar raya masih belum menyerang sungai di kawasan Pantai Timur seperti di Kelantan, Terengganu dan Pahang berdasarkan pemantauan pihaknya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya