Ibu bapa perlu baiki hubungan kekeluargaan, tangani masalah kesihatan mental

Ibu bapa perlu baiki hubungan kekeluargaan, tangani masalah kesihatan mental

DR. WAN Azizah Wan Ismail bersalaman dengan hadirin pada program Cahaya Dhuha, Sejahtera Jiwa sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 di Masjid Sri Sendayan, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Golongan ibu bapa dinasihatkan untuk mengambil langkah memperbaiki hubungan kekeluargaan termasuk dengan anak-anak sebagai salah satu usaha menangani  masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan (Kasih Malaysia), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, masalah kesihatan mental perlu dilihat secara serius kerana boleh dihidapi oleh semua orang malah tahun demi tahun bilangan yang menghidapinya juga meningkat.

Beliau yang juga isteri kepada Perdana Menteri justeru berharap, golongan ibu bapa yang juga suami dan isteri dapat memupuk hubungan lebih harmoni dalam keluarga serta lebih kerap meluangkan masa berinteraksi bersama anak-anak sebaiknya.

“Lihatlah anak-anak sekarang, semua hanya lihat handphone (telefon bimbit) terutama anak muda, mereka tidak dengan kita (ibu bapa) tetapi dengan alam maya. Bagaimana kita dengan anak-anak kita, kita juga dengan handphone kita tiada interaksi, ikatan dengan anak-anak kita.

“Apa yang kita kita kena lakukan tentang kesihatan mental? lihat dalam rumah tangga, apa yang boleh dibetulkan dalam hidup kita sebagai suami isteri, cara hidup sebagai suami isteri. Kenapa banyak sangat penceraian, apa silapnya sehingga anak-anak berpecah?,” katanya.

Wan Azizah berkata demikian sewaktu berucap merasmikan program Cahaya Dhuha, Sejahtera Jiwa sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 di Masjid Sri Sendayan di sini hari ini.

Yang hadir sama, Yang Dipertua, Badan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Wakil Rakyat dan Ketua Jabatan Wanita Kerajaan Negeri Sembilan (Bakriyah Negeri Sembilan), Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.

Pelbagai aktiviti diadakan bersempena program yang bermula pukul 9 pagi itu antaranya adalah Solat Dhuha, Bacaan Al-Mathurat Sughra, penelitian Surah Al-Insyirah dan forum kesedaran kesihatan mental.

Wan Hasni sementara itu pula berkata, adalah penting untuk semua pihak bersatu padu dalam usaha memberikan sokongan kepada pihak yang memerlukan dalam masalah kesihatan mental ini.

“Kesihatan mental yang baik bukan sahaja mempengaruhi individu, tetapi juga memberi kesan kepada masyarakat secara keseluruhan.

“Ketidakstabilan mental boleh mengganggu kualiti hidup, produktiviti dan hubungan social justeru, kita perlu sedar bahawa menjaga kesihatan mental adalah tanggungjawab kolektif. 

“Kita harus menggalakkan satu persekitaran yang mesra dan menyokong di mana individu dapat merasa selamat untuk berkongsi pengalaman mereka tanpa rasa malu atau takut dihakimi,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya