Hujan lebat, ADUN Galas terkandas di Pos Balar - Utusan Malaysia

Hujan lebat, ADUN Galas terkandas di Pos Balar

MOHD. Syahbuddin Hashim (kiri) memeriksa keadaan laluan selepas terkandas semasa misi menyampaikan bantuan kepada masyarakat Orang Asli di Bukit Piyel, Pos Balar, Gua Musang, Kelantan.UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Hujan berterusan sejak malam tadi menyebabkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim bersama rombongannya terkandas di kawasan penempatan Orang Asli Pos Balar di sini.

Mohd. Syahbuddin bergerak ke dua buah pos penempatan Orang Asli semalam untuk menyampaikan Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai, Pos Bihai dan SK Balar, Pos Balar yang terletak lebih 70 kilometer dari Bandar Gua Musang.

Mohd. Syahbuddin berkata, beliau bersama rombongan bertolak ke Pos Bihai pada pukul 9 pagi dan tiba di SK Bihai kira-kira dua jam kemudian sebelum bertolak ke SK Balar untuk menyampaikan bantuan sama.

“Selepas tamat program di SK Balar kira-kira pukul 5.30 petang, hujan turun secara berterusan sekali gus mengakibatkan air Sungai Balar meningkat.

“Saya bersama rombongan menaiki dua buah trak pikap berjaya melintasi sungai berkenaan. Apabila tiba di kawasan Bukit Piyel, laluan tanah rosak teruk dan kenderaan kami tidak dapat melaluinya,” katanya.

Mohd. Syahbuddin memberitahu, keadaan jalan itu menyebabkan tayar sebuah kenderaan pecah sebelum membuat keputusan untuk berpatah balik ke SK Balar dan bermalam di sekolah selepas terkandas selama tiga jam di Bukit Piyel.

“Kami terpaksa berjalan kaki sejauh lima kilometer di dalam keadaan hujan renyai-renyai dan melalui jambatan gantung besi untuk ke Kampung Peng kerana Sungai Balar meningkat dan arus deras. Kami memohon bantuan seorang wakil penduduk yang telah menunggu dengan sebuah trak untuk membawa kami ke sekolah. Kami selamat sampai di sekolah kira-kira pukul 10 malam,” ujarnya.

Mohd. Syahbuddin berkata, dia bersama rombongan terpaksa tidur di sekolah dan akan meneruskan perjalanan pulang hari ini.

“Ini adalah pengalaman pertama saya dengan kenderaan tersangkut dan terkandas di penempatan Orang Asli selepas bergelar ADUN sejak enam tahun lalu.

“Sebelum ini, saya kerap kali menerima aduan masalah jalan rosak daripada penduduk apabila menjelang musim tengkujuh. Saya sendiri mengalaminya dan dapat merasai kesusahan penduduk apabila jalan rosak dan tidak dapat keluar dari penempatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya