KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonan peguam yang mewakili Lim Guan Eng untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal kerana didakwa mengeluarkan ciapan mengelirukan berkaitan perbicaraan kes terowong dasar laut Pulau Pinang.
Hakim Azura Alwi memaklumkan mahkamah tidak berhasrat memulakan tindakan terhadap wakil rakyat itu meskipun beliau bersetuju semua pihak tidak seharusnya mengeluarkan sebarang komen ketika perbicaraan berlangsung.
“Sepatutnya semua pihak harus tahu dan tidak mengeluarkan sebarang komen (berkaitan perbicaraan). Saya tidak berhasrat memulakan apa-apa prosiding menghina mahkamah kerana jika saya layan semua, banyak yang sebenarnya mahkamah kena buat. Saya tidak pasti jika pihak pendakwaan ingin mengkajinya,’’ ujar Azura.
Terdahulu, peguam R.S.N. Rayer yang mewakili Guan Eng membangkitkan isu ciapan yang dikeluarkan Wan Ahmad Fayshal dalam aplikasi ‘X’ pada 2 Oktober lalu yang menyentuh projek terowong dasar laut Pulau Pinang diberikan melalui rundingan terus.
Menurut Rayer, ciapan ‘Betul betul Direct. Award. Party’ itu merujuk kepada laporan sebuah portal pada hari yang sama berhubung keterangan Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli bahawa Guan Eng ‘menjanjikan’ projek itu melalui rundingan terus jika beliau berjaya mengatur majlis pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan sebuah syarikat di China.
Peguam itu berkata, ciapan tersebut sesuatu yang mengelirukan dan subjudis kerana isu sama ada projek diberikan secara rundingan terus, belum diputuskan oleh mahkamah.
Rayer selanjutnya berkata, keterangan Zarul Ahmad bahawa Guan Eng memberikan projek terowong dasar laut secara rundingan terus adalah tidak benar kerana pembelaan berulang kali berpendirian bahawa projek itu diberikan melalui tender terbuka.
Beliau memohon arahan hakim bicara jika tindakan menghina mahkamah boleh dimulakan terhadap Wan Ahmas Fayshal lebih-lebih lagi beliau tiada dalam prosiding mahkamah dan hanya membuat ciapan berdasarkan laporan media.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin secara peribadi berpendirian, tiada pihak yang sepatutnya mengeluarkan sebarang komen sambil mempertikai siapa beliau (Wan Ahmad Fayshal) dalam kes tersebut.
Mahkamah sedang mendengar prosiding mencabar kredibiliti Zarul Ahmad yang merupakan saksi penting pendakwaan dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang.
Kredibiliti beliau dicabar selepas kenyataan yang diberikannya ketika siasatan kes ahli perniagaan G. Gnanaraja, berbeza dengan kenyataannya dalam kes Guan Eng walhal kedua-dua kes melibatkan siasatan terowong dasar laut Pulau Pinang.
Guan Eng dibicarakan bagi pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek mega itu.