PETALING JAYA: Jawatan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dimenangi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham dengan perbezaan 170 undi berbanding pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir dalam pemilihan parti itu.
Perkara tersebut diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Bersatu di sini, semalam.
Menurutnya, Hilman meraih 1,888 undi mengatasi pencabarnya, Akmal Zahin yang mendapat 1,718 undi.
Dalam pada itu, Abdul Azim juga mengesahkan JPP telah menerima 27 aduan dan telah memperhalusi kesemuanya satu persatu.
“Asas aduan dan bantahan antaranya berkaitan peraturan persidangan, tatacara pemilihan, prosedur pengeluaran kertas undi, keabsahan perwakilan dan prosedur pengiraan undi.
“Saya juga ingin menjelaskan tugas JPP bukan sekadar memuktamadkan penjumlahan undi yang diterima oleh calon-calon, tetapi juga memastikan tatacara dan peraturan pemilihan telah dipatuhi secara tertib dan teratur,” jelasnya.
Hilman Idham bakal menggantikan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad yang akan bertanding jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.
Dalam pada itu, Hilman Idham berkata, beliau bakal menggerakkan jentera Bersatu supaya dapat memenangi pilihan raya akan datang.
“Bersatu adalah sebuah keluarga besar. Kita (Bersatu) adalah satu dan setiap ahli adalah aset kepada parti. Kami akan satukan kekuatan untuk capai matlamat lebih besar,” jelasnya.
Sementara itu, Muhammad Faiz Rahmad pula menyandang jawatan naib ketua dengan 1,790 undi mengalahkan Izhar Shah Arif Shah dan Ad Adib Shaharuddin, masing-masing mendapat 1,287 dan 490 undi.
Pengerusi Tetap Armada pula dimenangi oleh Muhamad Amerul Muhamad dengan 1,799 undi manakala timbalan pengerusi disandang Mohd. Firdaus Mohd. Zaini dengan 1,867 undi.