Hampir terlepas peluang naik pentas konvokesyen UMPSA kerana kemalangan - Utusan Malaysia

Hampir terlepas peluang naik pentas konvokesyen UMPSA kerana kemalangan

YUSERRIE Zainuddin (dua dari kiri) menyantuni keluarga graduan yang terlibat kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Kolej Universiti Widad di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Graduan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik hampir terlepas peluang naik ke pentas konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini apabila kenderaan dipandu abangnya terlibat kemalangan jalan raya sewaktu dalam perjalanan menuju ke Dewan Kompleks Sukan universiti berkenaan kampus Gambang di sini.

Graduan terbabit, Muhammad Azfar Farhan Mohd. Tarmizi, 22, yang datang dari Alor Star, Kedah bersyukur ke hadrat Allah SWT apabila semua ahli keluarga selamat dalam kejadian itu dan hanya luka kecil di bahagian muka serta bibir.

Tindakan pantas dua rakannya, Muhammad Fayyadh Harith Abd. Halim dan Muhammad Syafie Notzir membawa Muhammad Azfar Farhan, ayah dan kakaknya memberi peluang buat keluarganya menyimpan memori indah dan merealisasikan hasrat arwah ibunya yang teringin melihat majlis konvokesyennya.

“Saya terharu dengan bantuan rakan yang sanggup berkorban sehingga mereka bertiga agak lewat masuk ke dewan.

“Bantuan petugas UMPSA juga begitu dihargai dalam membantu mempermudahkan urusan kami,” kata Muhammad Azfar Farhan.

Berkongsi tentang kemalangan kira-kira pukul 6.40 pagi itu, beliau berkata, kejadian tersebut disifatkan terlalu pantas berlaku apabila kenderaan dinaiki mereka sekeluarga bertembung dengan sebuah kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat di Kolej Universiti Widad di sini.

Bagaimanapun, Muhammad Azfar Farhan yang baru kehilangan ibunya, Rusnii Ahmad pada 12 Ogos lalu bersyukur dapat merealisasikan impian arwah ibunya untuk melihatnya tamat pengajian.

“Mak, terima kasih kerana bagi semangat kepada saya dan selalu menasihatkan saya untuk tidak berputus asa dan jangan pernah mengalah dalam apa jua yang saya lakukan”, katanya.

Bapanya, Mohd. Tarmizi Hashim, 56, berkata, walaupun mengalami kemalangan, mereka bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana selamat dalam kemalangan tersebut.

“Alhamdulillah, kami semua selamat tetapi Azfar mengalami sedikit kecederaan di bahagian bibir dan mukanya. Saya juga bersyukur kerana dapat sampai hari ini untuk meraikan kejayaan anak,” katanya.

Muhammad Azfar Farhan menerima Diploma Elektrik dan Elektronik yang disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin pada sesi kelima Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN