Hafizuddin rangkul tiga emas, pecah rekod kebangsaaan di pentas pertama antarabangsa - Utusan Malaysia

Hafizuddin rangkul tiga emas, pecah rekod kebangsaaan di pentas pertama antarabangsa

MUHAMMAD Hafizuddin Roslin, 20, (tengah) bersama barisan kejurulatihan selepas memenangi tiga pingat emas sekali gus memecahkan sekali rekod kebangsaan dalam acara angkat berat kategori 81 kilogram pada kejohanan Egat King’s Cup (Junior) International Weightlifting Championships 2024 di Phayao, Thailand, semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penampilan kali pertama badang dari Perlis, Muhammad Hafizuddin Roslin, 20, di pentas antarabangsa mencetuskan sensasi apabila merangkul tiga pingat emas dalam acara angkat berat kategori 81 kilogram (kg) pada kejohanan Egat King’s Cup (Junior) International Weightlifting Championships 2024 di Phayao, Thailand, semalam.

Lebih membanggakan, Muhammad Hafizuddin turut berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dengan angkatan keseluruhan 334 kg, tidak sampai tiga bulan selepas melakukannya di temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak.

Pada temasya Sukma Sarawak baru-baru ini, Muhammad Hafizuddin mencetuskan fenomena luar biasa selepas memecahkan rekod kebangsaan sebanyak lapan kali dalam acara angkat berat kategori 81 kg dengan angkatan keseluruhan 332 kilogram.

Angkatan seluruhan 334 kilogram itu menyaksikan Muhammad Hafizuddin kini menjadi prospek pingat dalam temasya Sukan Sea, di Thailand tahun depan selain sukan Komanwel Glasgow, Scotland pada 2026.

Semalam, dia melakukan angkatan 152kg dalam snatch manakala 182kg untuk clean and jerk dengan keseluruhan 334kg.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Hafizuddin berkata, selepas temasya Sukma Sarawak, dia terus giat menjalani latihan bagi mewakili Malaysia buat kali pertama dan seterusnya berjaya memecahkan sekali rekod kebangsaan yang dilakukan sebelum ini.

Katanya, kejayaan itu mendorongnya lebih bersemangat bagi melakar kejayaan dalam Sukan Sea dan Komanwel selepas ini.

“Alhamdulilah, pertama kali beraksi di pentas antarabangsa, saya berjaya merangkul pingat sekali gus turut memecahkan rekod kebangsaan dalam tempoh tidak sampai tiga bulan,” katanya.

Keseluruhan angkatan yang dibuatnya itu mengatasi rekod Sukan Komanwel 2022 yang dipegang Chris Murray dari England dengan catatan keseluruhan 325kg.

Atlet itu turut berjaya mengatasi rekod junior Komanwel secara tidak rasmi yang dipegang oleh atlet Kanada, Alex Bellemarre dengan jumlah angkatan 330kg.

Dia semakin menghampiri rekod Sukan Komanwel apabila dipisahkan empat kilogram sahaja untuk menyamai rekod 338kg yang dipegang atlet India.

Jurulatih, Muhammad Hafizuddin, Mohd. Hanie Musa,31, pula berkata, dia cukup bangga dengan kejayaan anak didiknya itu yang pertama kali mewakili Malaysia terus berjaya sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan.

Katanya, rekod angkatan tersebut menyaksikan Muhammad Hafizuddin mempunyai peluang cerah merangkul pingat dalam temasya Sukan Sea 2025 dan Komanwel 2026.

“Rekod berkenaan menyaksikan Muhammad Hafizuddin berada dalam kedudukan tiga terbaik di peringak Sukan SEA dan Komanwel. Insya-Allah peluang merangkul pingat emas di Sukan SEA agak cerah.

“Saya juga yakin Muhammad Hafizuddin mempunyai potensi untuk terus memecahkan rekod demi rekod selepas ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya