PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng supaya tidak membuat tuduhan berhubung dakwaan kononnya tiada menteri dari UMNO turun membantu mangsa banjir di Pulau Pinang baru-baru ini.
Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau juga meminta Ahli Parlimen Bagan itu supaya mengimbau bantuan dihulurkannya ketika musim banjir di Pulau Pinang semasa Guan Eng bergelar Ketua Menteri pada tahun 2017.
“Ingat itu..ingat itu. Jangan bila tiada jawatan dalam kerajaan, tuduh sana, tuduh sini.
“Sewaktu beliau jadi Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau (Guan Eng) menangis telefon saya pada pukul 3.38 pagi. Dan saya dari Sarawak terus turun ke Pulau Pinang untuk membantu beliau,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Ekonomi Gig Malaysia MADANI di sini, semalam.
Dalam perbahasan Belanjawan 2025 baru-baru ini, Guan Eng berterima kasih kepada barisan menteri Kerajaan Perpaduan yang turun membantu mangsa banjir di Pulau Pinang dan kawasan Parlimennya, namun secara sinis berkata ‘menteri UMNO kurang bantu sikit’.
“Terima kasih kepada menteri-menteri yang telah menolong bukan negeri saya sahaja, Pulau Pinang tetapi juga kawasan Parlimen saya.
“Bermula dengan perdana menteri (Anwar Ibrahim), menteri-menteri DAP tentulah, dan juga menteri dari GPS, GRS dan UPKO, dan menteri ekonomi (Rafizi Ramli) juga.
“Kecuali UMNO kurang sikit, mungkin masa depan boleh tambah banyak…kita harapkan begitu,” katanya.