GRS teruskan kerjasama dengan parti nasional pada PRN Sabah - Hajiji - Utusan Malaysia

GRS teruskan kerjasama dengan parti nasional pada PRN Sabah – Hajiji

HAJIJI Noor (tengah) semasa sidang akhbar sempena penutupan Taklimat Gerak Kerja Wanita GRS, di Kota Kinabalu semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkongsi pandangan yang sama dengan Timbalan Presiden PKR bahawa gabungan kerjasama parti nasional dan tempatan adalah yang terbaik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dalam politik perkara yang penting adalah kerjasama dan kesepaduan.

“Sekarang dalam kerajaan (negeri), kita disertai oleh parti nasional dan setakat ini kerjasama itu begitu baik. Kita akan teruskan kerjasama itu pada pilihan raya yang akan datang,” katanya semasa sidang akhbar sempena penutupan taklimat gerak kerja Wanita GRS, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa gabungan kerjasama antara parti nasional dan tempatan adalah pilihan terbaik untuk menghadapi PRN Sabah.

Mengulas tentang kemungkinan kerjasama BN dan GRS menjelang PRN Sabah, beliau berkata, senario politik Sabah agak unik, biarpun Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menarik sokongan daripada kerajaan namun, sebahagian pemimpin UMNO/BN masih berada dalam kerajaan sebagai menteri dan pembantu menteri.

“Di Sabah ini unik yang tarik diri daripada menyokong kerajaan ialah Bung Moktar manakala, UMNO lain masih lagi ada dalam kerajaan. Contohnya, kita ada menteri dan pembantu-pembantu menteri dan jawatan lain dari BN. Itulah yang berlaku di Sabah…Sabah boleh,” katanya.

Mengenai kerjasama menjelang PRN, perkara itu akan dibincangkan dengan pemimpin-pemimpin GRS kerana beliau tidak boleh memutuskannya sendirian.

“Saya tidak boleh bercakap di sini bagi pihak GRS, semua ini akan kita bawa dalam mesyuarat tertinggi GRS nanti. Dalam mesyuarat itu nanti barulah kita akan membuat keputusan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Menteri berkata, beliau berharap Sabah akan menerima peruntukan yang lebih banyak dalam Belanjawan 2025 berbanding peruntukan diterima tahun ini.

Katanya, sebagai sebuah negeri yang besar, Sabah memerlukan peruntukan yang lebih banyak bagi meneruskan agenda pembangunan di negeri ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya