GPMS bimbang kenaikan gaji minimum RM1,700 tutup peluang kerja graduan baru tamat belajar

GPMS bimbang kenaikan gaji minimum RM1,700 tutup peluang kerja graduan baru tamat belajar

NIK Saiful Adli Burhan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) meluahkan kebimbangan kenaikan gaji minimum sebanyak RM1,700 menerusi pembentangan Belanjawan 2025 hari ini akan menutup peluang graduan yang baharu menamatkan pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) untuk mendapat kerja.

Timbalan Pengerusi Tetapnya Nik Saiful Adli Burhan berkata, kenaikan itu menyebabkan majikan akan memilih tenaga kerja berpengalaman dan terbukti mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan setimpal dengan bayaran gaji.

“Kita sebenarnya masih terkesan dengan kenaikan gaji minimum RM1,500 yang dilaksanakan sebelum ini. Anda boleh lihat berlakunya pengurangan pekerja oleh syarikat bersaiz sederhana dan kecil dan ini tidak baik untuk negara

“Belum tiba masanya kita meningkatkan pendapatan secara mendadak, akhirnya mengabaikan masalah pengangguran yang masih belum selesai. Malaysia belum cukup maju dan kita masih berada di peringkat negara sedang membangun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Saiful memberitahu, GPMS menjangkakan selepas ini tiada lagi peluang dan percubaan untuk individu tidak mempunyai pengalaman termasuk graduan yang baharu menamatkan pengajian.

Katanya, perjalanan industri bukanlah berasaskan retorik politik semata-mata sebaliknya menjadi sokongan kepada dasar yang kedengaran indah namun menjamin kelangsungan peluang pekerjaan dan ekonomi yang stabil.

“Saya harap kerajaan perbanyakkan program latihan ke arah industri serta menyediakan subsidi gaji kepada mana-mana majikan yang sedia menggaji pekerja yang tiada pengalaman, belia dan graduan bagi suatu tempoh tertentu.

“Hal ini bagi membolehkan mereka bersaing dalam pasaran pekerjaan yang semakin memilih,” ujarnya

Utusan Online melaporkan, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Madani sentiasa menitikberatkan soal pendapatan rakyat.

Menurutnya, penstrukturan ekonomi hanya dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa.

“Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

“Kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN