GISBH: Seramai 30 kanak-kanak, remaja diselamatkan di Johor - Utusan Malaysia

GISBH: Seramai 30 kanak-kanak, remaja diselamatkan di Johor

GISBH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pihak berkuasa menyelamatkan seramai 30 kanak-kanak dan remaja dalam serbuan ke atas lapan premis miliki GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, serbuan itu dijalankan di lima daerah, iaitu Johor Bahru, Kluang, Segamat, Kota Tinggi dan Mersing.

Menurutnya, dalam operasi pada 20 dan 21 September lalu itu, seramai 29 individu dikenakan tahanan reman.

“Lapan daripada mereka ditahan semula kerana disyaki memiliki buku berkaitan Aurah Muhammadiyah. Memiliki atau menyimpan risalah yang telah diwartakan haram merupakan kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997,  Seksyen 9 Mengingkari 

Pihak Berkuasa dan Seksyen 13 penerbitan bersalahan dengan hukum syarak.

“Kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dalam operasi tersebut telah ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam tempoh sebulan. Peruntukan sebanyak RM20,000 telah diberi bagi keperluan pakaian dan buku pelajaran mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata, pemeriksaan mendapati GISBH mempunyai pemilikan terhadap 43 premis di seluruh negeri ini.

“Kerajaan Johor memandang serius dakwaan berkaitan GISBH sepertimana yang tular baru-baru ini. Bagi memelihara kemuliaan dan kesucian Islam serta keselamatan dan kebajikan rakyat, satu operasi bersepadu telah dijalankan.

“Operasi ini dijalankan kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan JKM,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, MAINJ juga telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemurniaan Pengikut-Pengikut GISBH. 

“Penubuhan jawatankuasa ini berperanan merangka gerak kerja pemulihan akidah individu terlibat. Jawatankuasa ini juga bertujuan menyelaras persekolahan, penempatan dan bantuan yang boleh disalurkan kepada anak-anak pengikut GISBH,” katanya.

Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September lalu, lebih 300 orang termasuk pengurusan GISBH ditahan dan 572 mangsa diselamatkan serta lapan individu telah dituduh di mahkamah atas 33 pertuduhan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya