GISBH: Pemulihan akidah 261 kanak-kanak positif

GISBH: Pemulihan akidah 261 kanak-kanak positif

Kanak-kanak GISBH
ABDUL Aziz Mohd. Yusof bersama pihak pengurusan dan peserta Ijtimak Ahli Sunnah Wal Jamaah Peringkat Selangor, di Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Proses pemulihan akidah dan sosial ke atas 261 kanak-kanak yang terlibat dalam isu Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) berjalan lancar dan menunjukkan perkembangan positif sejak dilaksanakan pada awal bulan ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, kesemua kanak-kanak pelbagai usia itu masih ditempatkan di sebuah rumah kebajikan seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di ibu negara.

Menurutnya, MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menghantar seramai 36 guru ke pusat berkenaan untuk mengajar selama dua jam setiap hari.

“Kita menggunakan modul khas mengikut peringkat usia yang meliputi pengajaran fardu ain, sirah, akidah, solat dan Al-Quran.

“Pemerhatian kita mendapati modul yang akan digunakan selama tiga bulan itu amat positif dan diterima baik kanak-kanak tersebut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Ijtimak Ahli Sunnah Wal Jamaah Peringkat Selangor, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan MAIS membangunkan modul khas itu dengan kerjasama JAIS dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) sejak 1 Oktober lalu.

Seramai 20 guru al-Riqab turut terlibat dalam mengajar di rumah kebajikan berkenaan bagi pemulihan akidah semua kanak-kanak tersebut.

Tambah Abdul Aziz, pihaknya turut akan membuat penilaian penuh selepas tamat tempoh pengajaran modul itu kelak.

“Sama ada melanjutkan tempoh itu atau tidak, kita akan melihat perkembangan menyeluruh kanak-kanak berkenaan nanti. Modul yang kita guna bersifat progresif dan ia turut akan berubah mengikut usia kanak-kanak tersebut,” ujaranya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pemahaman jelas mengenai Ahli Sunnah Wal Jamaah amat penting bagi mengelak minda umat Islam dirosakkan oleh ajaran lain.

Rabu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd. Ali dan isterinya, Datin Azura Md. Yusof didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Selain pasangan itu, turut didakwa adalah 20 individu lain yang berkaitan dengan GISBH.

Pada 10 Oktober lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zin memaklumkan pemimpin tertinggi GISBH itu antara 58 individu yang ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Sejak Op Global dilancarkan pada 11 September lalu, seramai 35 individu masih dalam tahanan reman, 273 orang dijamin, 37 individu dibebaskan tanpa syarat, dua orang diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan seorang lagi kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran.

Sejumlah 415 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan manakala 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun berjaya diselamatkan oleh pihak polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya