SEPANG: Penderitaan seorang mangsa pemerdagangan manusia di Laos berakhir apabila dia diselamatkan, sekali gus dapat meraikan sambutan Deepavali bersama keluarga di Kedah.
Menurut Kumar (bukan nama sebenar), 26, dia tidak pernah menduga untuk menjadi mangsa jenayah tersebut di mana perlu bekerja sebagai ejen penipuan secara atas talian.
“Sebenarnya, saya baru sahaja kahwin enam bulan lepas dan tertarik tawaran kerja kasino di Thailand dengan gaji bulanan RM5,000.
“Jadi, saya bersama seorang rakan terbang ke Bangkok dari Johor pada 19 Jun lalu dengan menaiki pesawat yang dibayar ejen terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini semalam.
Terdahulu, ketibaan Kumar di tanah air disambut Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) diketuai Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim.
Bercerita lanjut, Kumar berkata, setelah tiba di Bangkok, dia dibawa menuju ke Chiang Rai sebelum dipaksa menaiki bot ke Segi Tiga Emas di Laos dengan pasport dirampas oleh seorang ‘tomboi’ warga Malaysia.
“Setibanya di sana, saya dipindahkan ke tingkat tujuh sebuah bangunan yang menempatkan kira-kira 30 rakyat Malaysia dengan dipaksa bertugas sebagai ejen penipuan atas talian.
“Kami diberikan skrip, namun saya berkeras tidak mahu melakukan jenayah itu hingga menyebabkan majikan mengenakan denda berdiri 16 jam sehari,” jelasnya.
Katanya, dia juga tidak dibayar gaji sepanjang dua bulan bekerja selain upah dipotong kerana dikatakan melakukan kesalahan sebelum dapat menghubungi pasangannya akhir bulan lalu.
“Isteri saya segera menelefon MHO yang terus bertindak melalui wakilnya, Azirul Syafiq Sazali untuk misi pembebasan melalui pelbagai strategi sebelum dibawa balik,” jelasnya.
Sementara itu, Hishamuddin berkata, misi di Laos lebih mudah berbanding kes di Myanmar kerana situasi bergolak dengan konflik politik dan ancaman perang saudara.
“Kita ada rumah perlindungan bagi menempatkan sementara mangsa di Thailand dengan makanan dan penginapan ditaja sebuah badan kebajikan dari Pulau Pinang.
“Selain itu, dua mangsa akan dibawa pulang oleh MHO (hari ini), manakala lima lagi dalam proses dokumentasi perjalanan yang diuruskan pihak kedutaan di Bangkok,” katanya.