SEREMBAN: Atlet menembak wanita yang membolot tujuh pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2024, Gan Chen Jie kini menyasar untuk layak ke Sukan Sea Ke-33 di Bangkok, Thailand, hujung tahun depan.
Sementara menunggu tarikh itu, Atlet Wanita Terbaik Sukma 2024 itu akan memberi tumpuan pada Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) 2024 di Taiwan, Januari depan.
Menurutnya, dalam pada itu, dia perlu membahagikan masa dengan betul antara sukan menembak yang diceburinya sejak 2019 dengan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam Sumber Manusia di sebuah universiti swasta.
“Saya perlu sediakan jadual yang jelas bagi membolehkan saya berlatih dan belajar secara seimbang dan pada masa sama mencapai cita-cita dalam sukan menembak.
“Ia penting kerana sukan menembak memerlukan kekuatan mental untuk mendapatkan keputusan yang diinginkan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Insentif Atlet Negeri Sembilan ke Sukma Sarawak 2024 di sini semalam.
Pada kejohanan itu, kontinjen Negeri Sembilan meraih 56 pingat dengan memungut 19 emas, perak (13) dan gangsa (24).
Pasukan menembak telah menggondol 12 emas dengan Chen Jie memecahkan dua rekod kejohanan berkenaan.
Pada majlis tersebut, beliau turut menerima dua anugerah khas dengan ganjaran sebanyak RM4,000 dan RM3,000.
Kata Chen Jie lag, dia yakin mampu membawa cabaran negara dengan bimbingan jurulatih di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) yang disertainya ketika ini.-UTUSAN.