Gaji minimum baharu tidak jejas sektor penerbangan, pengangkutan awam

Gaji minimum baharu tidak jejas sektor penerbangan, pengangkutan awam

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengumuman kadar gaji minimum baharu RM1,700 tidak memberi kesan kepada pekerja sektor penerbangan dan kadar bayaran pengangkutan awam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia berikutan kadar gaji sektor penerbangan sudah pun melebihi bayaran minimum berbanding yang diumumkan pada Belanjawan 2025, baru-baru ini.

“Saya rasa pengumuman kadar gaji minimum baharu tidak memberi kesan yang besar dalam sektor ini.

“Hal ini kerana sektor penerbangan melibatkan kerja teknikal yang memerlukan kemahiran dan tenaga mahir. Sudah tentu pekerja kemahiran sudah mempunyai gaji melebihi tahap minima malah rata-ratanya melepasi kadar RM2,000.

“Dalam sektor penerbangan, gaji sememangnya sudah melebihi RM1,700. Saya merasakan pengumuman kadar gaji minimum baharu tidak memberi kesan yang besar dalam sektor ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Persidangan Antarabangsa Rundingan Penerbangan Awam (ICAN) 2024, semalam.

Mengulas lanjut, Loke berkata, peningkatan gaji minimum baharu sebanyak RM200 juga tidak menjejaskan kadar bayaran pengangkutan awam.

“Kadar tambang bas dikawal oleh kerajaan dan kadar gaji minimum baharu tidak memberi kesan secara langsung. Mereka tidak boleh sesuka hati menaikkan kadar tambang. Rata-rata pemandu ketika ini sudah pun mempunyai gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 yang dibayar oleh Prasarana,” katanya.

Terdahulu, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700, berkuat kuasa 1 Februari tahun hadapan, sewaktu membentangkan Belanjawan 2025.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga sepakat menangguh kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan, iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

Semantara itu, kerajaan berusaha mendapatkan hak trafik udara baharu dari lebih 30 negara bagi bagi menggalakkan syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa memperluaskan operasi ke destinasi ke negara ini.

Loke berkata, kerajaan akan mengadakan rundingan perkhidmatan udara selain memperkemas serta mewujudkan Perjanjian Perkhidmatan Udara (ASA) dengan negara-negara terlibat.

“Usaha ini diharapkan dapat mewujudkan permintaan pengembaraan yang tinggi dan seterusnya menggalakkan syarikat penerbangan tempatan serta antarabangsa untuk memperluas operasi penerbangan ke destinasi-destinasi di Malaysia.

“Rundingan ASA antara negara-negara ahli Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bertujuan mening­katkan kesalinghubungan udara yang merupakan pemangkin kepada pembangunan negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya