‘Episod duka selepas suami dijangkiti kuman dalam darah’

‘Episod duka selepas suami dijangkiti kuman dalam darah’

ZARINA Abu di samping suaminya, Salim Safar yang terlantar kerana menghidapi pelbagai penyakit di Kampung Pak Khalid, Pekan Nanas, Pontian, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Jika sebelum ini Zarina Abu, 37, mengambil alih tanggungjawab menyara keluarga selepas suaminya tidak dapat lagi bekerja akibat menghidap pelbagai penyakit seperti kencing manis, buah pinggang dan saraf sejak empat tahun lalu.

Namun, penyakit dihidapi suaminya, Salim Safar, 42, semakin parah dan kini memaksanya berhenti bekerja di sebuah kilang di Iskandar Puteri dengan pendapatan RM1,600 sebulan untuk menjaganya sepenuh masa.

Ibu dua anak lelaki itu memberitahu, episod duka me­nimpa keluarganya bermula pada Jun lalu apabila suaminya dihantar ke Hospital Pontian kerana dijangkiti kuman dalam darah.

“Ekoran itu, pada 31 Ogos lalu, suami tidak sedarkan diri kerana kuman dalam darahnya semakin merebak menyebabkan dia tidak lagi mampu berdiri seperti biasa. Kami terpaksa memanggil ambulans untuk membawanya ke Hospital Pontian dan seterusnya dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA ) serta diletakkan di‘ Zon Merah,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Pak Khalid, Pekan Nanas, di sini.

Ekoran keadaan suaminya yang kritikal, pihak HSA telah menidurkannya lebih tiga minggu sebelum dipindahkan ke wad biasa pada 23 September lalu.

“Setiap kali buang air besar, najisnya bercampur darah dan saya diminta oleh pihak hospital mengambil gambar bagi mengetahui perkembangannya setiap hari,” katanya yang terpaksa berhenti kerja bagi menguruskan suaminya yang berada di HSA selain untuk menghantar kedua-dua anaknya di Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mohd. Yunos Sulaiman.

Suaminya hanya dibenarkan pulang pada 8 Oktober lalu, namun perlu mendapatkan rawatan susulan di Klinik Kesihatan Pekan Nanas, Hospital Pontian dan HSA.

“Itu yang menambah kerisauan saya, siapa yang akan membawa suami kerana dia tidak boleh berdiri, nak sewa ambulans kos antara RM280 hingga RM300,” katanya dalam nada sebak memaklumkan duit simpanan hanya tinggal RM300 kerana banyak digunakan semasa berulang-alik dari Pontian ke Johor Bahru ketika suaminya berada di HSA.

Suaminya hanya boleh me­ngambil makanan lembut seperti bubur dan susu kerana lehernya telah ditebuk dan hanya boleh bercakap menggunakan peralatan khas yang dipasang pada lehernya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0112241000110833 atau menghubungi talian 011-33341014. – UTUSAN

ZARINA Abu di samping suaminya, Salim Safar yang terlantar kerana menghidapi pelbagai penyakit di Kampung Pak Khalid, Pekan Nanas, Pontian, semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya