Enam lelaki mengaku tak bersalah belasah seorang lelaki - Utusan Malaysia

Enam lelaki mengaku tak bersalah belasah seorang lelaki

ENAM lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kulai atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki, Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Enam lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan seorang lelaki, 7 Oktober lalu.

Tertuduh, Justin Ngu Zhing Xin, 28, Lau Tzy Teck, 36, Wai Kar Chung, 32, Liaw Kok Beng, 34,  Yee Vui Ming, 40, dan Teh Yeung Tatt, 28, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama menyebabkan kecederaan kepada Ng Kim Hoe, 33, dengan menggunakan batang rotan di tepi jalan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) pada pukul 1.38 petang, Isnin lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebatan atau dua daripada hukuman itu, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail, manakala kesemua tertuduh diwakili oleh peguam bela, Muhammad Mohd. Nasir.

Azureen Sahira membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain diminta tidak mengganggu mangsa atau saksi kejadian.

Mahkamah turut menetapkan 7 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Isnin lalu, polis menahan kesemua suspek kerana disyaki memukul seorang lelaki dengan menggunakan senjata selain bertindak menendang mangsa yang terbaring di atas jalan raya itu.

Perbuatan mereka telah dirakam oleh pengguna jalan raya yang lain dan rakaman video berdurasi 17 saat yang memaparkan kejadian itu tular dalam media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya