Empat anggota polis tolak rasuah terima pujian, penghargaan - Utusan Malaysia

Empat anggota polis tolak rasuah terima pujian, penghargaan

AHMAD ZAMRY Marinsah dan Ng Swie Chait bergambar bersama-sama Syed Azham Syed Kamarudzaman (kanan), Roshazizat Idris, Mohd. Safiq Rojani dan Rowen De Cobain Fandy (kiri) di IPD Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Empat anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah Segamat yang menolak rasuah sebanyak RM1,300 daripada seorang kelindan lori baru-baru ini bukan sahaja diberi pujian, malah menerima sijil penghargaan.

Empat anggota polis berkenaan ialah Sarjan Roshazizat Idris, 57, Lans Koperal Syed Azham Syed Kamarudzaman, 32, Lans Koperal Mohd. Safiq Rojani, 29, dan Konstabel Rowen De Cobain Fandy, 24.

Ketua Polis Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah mengakui amat berbangga dengan sikap bertanggungjawab, beretika serta berintegrati keempat-empat anggotanya itu dalam menjalankan tugas mereka.

“Kejadian itu berlaku di Jalan Segamat ke Kuantan berdekatan Taman Yayasan pada pukul 12.20 tengah hari, 9 Oktober lalu. Anggota ini ternampak sebuah lori merah bermuatan tong gas masak diletakkan di tepi Jalan Segamat ke Kuantan sebelum melakukan pemeriksaan dan menemukan peket dadah dipercayai syabu di ‘dashboard’ lori.

“Kelindan lori warga tempatan berusia dalam lingkungan 40-an itu memberi mereka RM1,300 bagi mengelakkan tindakan diambil ke atasnya. Namun, anggota kami menolak rasuah yang ditawarkan sebanyak empat kali oleh lelaki itu dan menahannya di lokasi kejadian selain merampas dadah tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas bertemu dan menzahirkan penghargaan kepada keempat-empat anggota itu yang turut dihadiri Timbalannya, Deputi Superintenden Ng Swie Chait, di sini hari ini.

Ahmad Zamry berkata, sebagai anggota polis, semua anggota sudah dididik sejak melangkah ke pusat latihan supaya menolak segala bentuk rasuah demi menjaga imej pasukan dan keluarga.

“Tindakan mereka amat kami hargai dan layak mendapat pujian serta disebabkan itu mereka akan diberikan sijil penghargaan,” katanya.

Sementara itu, Roshazizat Idris, 57, berkata, memori dan cabaran semasa bertugas seperti itu tidak akan terpadam seumur hidup kerana menjalankan tugas dengan amanah.

“Setiap hari kami bukan sahaja berdepan dengan cabaran cuaca panas serta hujan dalam menjalankan tugas, malah cabaran ditawarkan hadiah atau wang tunai juga berlaku. Namun, kami tidak akan berkompromi dengan penjenayah atau salah laku disiplin sewaktu menjalankan tugas, amanah ini harus kami pikul dengan bersih.

“Kami kemudiannya membawa suspek ke IPD Segamat sebelum diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Segamat untuk pendakwaan,” kongsinya yang merupakan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya