Ekspo TVET@KKDW tarik minat pelajar

Ekspo TVET@KKDW tarik minat pelajar

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang mengunjungi reruai IPT yang menawarkan kursus kemahiran di Ekspo Institusi Pendidikan TVET @ KKDW 2024 di MITC, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EKSPO Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) @ Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini memberi manfaat kepada pelajar terutama mereka yang berhasrat melanjutkan pengajian.

Lebih penting ekspo selama tiga hari yang terbesar pernah diadakan di Melaka dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peluang kerjaya serta kemahiran yang ditawarkan melalui TVET.

Pelajar, Ahmad Rafiq Mazlan, 21, dari Seri Kembangan, Selangor berkata, dia tidak menyangka bahawa banyak institusi pengajian tinggi (IPTk kini menawarkan pelbagai kursus dalam bidang kemahiran.

Menurutnya, dia datang bersama kakak dan abang iparnya ke ekspo berkenaan semata-mata ingin melihat peluang lebih baik untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana muda dalam bidang TVET.

“Saya benar-benar teruja melihat banyak IPT menawarkan pelbagai kursus dalam bidang teknologi, automotif, kejuruteraan dan banyak lagi.

“Saya berminat dalam bidang kimpalan dan bercadang untuk menyambung pelajaran dalam bidang berkaitan yang ditawarkan,” katanya kepada Utusan Pelajar.

Ekspo yang berakhir pada 29 September lalu memasuki tahun keenam penganjurannya merupakan platform tahunan mempromosikan TVET daripada 279 institusi di bawah KKDW.

Dalam pada itu, pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Masjid Tanah, Adam Danish Mohd. Sukhairi, 19, berkata, TVET memberi banyak peluang kepada pelajar yang lemah dalam bidang akademik tetapi boleh berjaya dalam bidang kemahiran.

Menurutnya, sewaktu di alam persekolahan, dia gagal memberikan tumpuan dalam bidang akademik.

“Selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya berbincang dengan ibu bapa untuk masukkan saya ke IPT yang menawarkan bidang kemahiran iaitu
dalam bidang automotif.

“Saya kini cukup selesa melanjutkan pelajaran di KKTM dan bercita-cita untuk menyambung pelajaran ke luar negara,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Allayana Syakira Safri, 20, berkata, ekspo sedemikian seharusnya dimanfaatkan golongan muda untuk beralih ke bidang kemahiran yang menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Kata pelajar German-Malaysia Institute (GMI), keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan elektronik dan teknologi maklumat adalah tepat untuk masa depannya.

“Bidang TVET tidak lagi seperti dahulu kerana bidang ini menjanjikan peluang pekerjaan yang lebih mudah dan mampu memperoleh pendapatan tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN