JOHOR BAHRU: Dua mangsa yang melecur seluruh badan akibat kebakaran empat buah kilang di Kawasan Perindustrian SILC, Iskandar Puteri, di sini Khamis lalu, meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, dua mangsa tersebut merupakan warga Bangladesh yang berusia 30 dan 40 tahun.
Menurutnya, mangsa pertama disahkan meninggal dunia pada pukul 10 malam, Jumaat lalu dan seorang lagi menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.15 pagi, semalam.
“Kedua-dua pekerja kilang yang melecur teruk akibat kebakaran itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah Wad Kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA). Seorang lagi mangsa yang turut melecur masih menerima rawatan di hospital sama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Khamis lalu, media melaporkan empat kilang di Kawasan Perindustrian SILC terbakar sehingga menyebabkan tiga pekerja lelaki melecur teruk.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri masih menjalankan siasatan secara terperinci bagi mengenap pasti punca sebenar kebakaran tersebut. – UTUSAN