BATU PAHAT: Dua keluarga yang kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran melibatkan lima buah kediaman petang semalam akan menerima bantuan pembinaan semula rumah menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd Khalid berkata, bantuan berjumlah RM100,000 akan diberikan kepada dua keluarga berkenaan namun perlu membuktikan keizinan pembinaan rumah daripada keseluruhan ahli keluarga di atas tanah mereka.
Katanya, sebaik sahaja semua proses itu selesai dan dimajukan kepada MAINJ, bantuan akan diberikan dalam tempoh dua bulan bagi membolehkan proses pembinaan semula rumah dilakukan.
“Sepanjang tempoh itu, dua keluarga yang dikategorikan sebagai asnaf ini akan diberikan bantuan menyewa rumah berhampiran atau dalam Kampung Sungai Ayam ini.
“Sekiranya tidak keberatan, mangsa juga boleh tinggal di rumah anak atau saudara terdekat dalam atau luar kampung sehingga proses pembinaan semula rumah selesai,” katanya selepas meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi mangsa kebakaran itu, di sini hari ini.
Mohd. Fared berkata, bagi tiga keluarga yang bukan dalam kategori asnaf turut akan diberikan bantuan termasuk menyewa rumah bagi tempoh enam bulan hingga setahun.
“Saya yakin kepimpinan setempat dan Pejabat Daerah Batu Pahat sudah melakukan yang terbaik dalam menangani kebajikan mangsa terlibat.
“Orang ramai yang ingin membantu mangsa boleh melakukannya menerusi agensi kerajaan agar bantuan disalurkan dengan lebih sama rata,” katanya. – UTUSAN