Dua beradik yatim piatu terima faedah pencen penakat Perkeso

Dua beradik yatim piatu terima faedah pencen penakat Perkeso

FARIHAH Che Husin (tengah) menyampaikan sijil anak angkat Perkeso kepada Nur Jihan Irdina (dua, kiri) dan adiknya, Anis Zahra Nazihah (dua, kanan) serta faedah pencen penakat di Kampung Payang Kayu, Hulu Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Kesedihan dua beradik yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan di Gua Musang, Kelantan Jumaat lalu terubat apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tampil menghulurkan sumbangan.

Nur Jihan Irdina Mohd. Junaizi, 13, dan adiknya, Nur Anis Zahra Nazihah, 12, layak menerima faedah pencen penakat berjumlah RM435 sebulan sehingga berumur 21 tahun atau mendapat ijazah pertama.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, anak pasangan arwah Mohd. Junaizi Jusoh, 48, dan Shazwani Ismail, 39, itu juga diambil sebagai anak angkat Perkeso Terengganu ke-29 dan ke-30.

“Waris kedua-dua arwah juga mendapat Faedah Pengurusan Mayat RM3,000 setiap seorang dan dibayar kepada ibu kandung arwah Shazwani Ismail, 39, iaitu Hasmah Abu Bakar, 63, serta ibu arwah Mohd. Junaizi iaitu Naini Ibrahim, 67.

“Hasmah juga akan menerima Faedah Pencen Penakat berjumlah RM507 setiap bulan selama seumur hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan faedah Perkeso kepada keluarga berkenaan di Kampung Payang Kayu, dekat sini, semalam.

Nur Jihan Irdina berkata, dia dan adiknya, Nur Anis Zahra Nazihah, bersyukur dengan faedah itu dan akan digunakan dengan sebaik mungkin.

Terdahulu, akhbar melaporkan lima maut termasuk empat sekeluarga dalam kemalangan di Kilometer 86 Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang, Jumaat lalu.

Mangsa yang maut adalah pasangan suami isteri, Mohd. Junaizi dan Shazwani serta anak mereka Muhammad Fakrul Danish, 18, dan Farhana Ismail, 35; yang juga adik Shazwani.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya