PEKAN: Seorang abang meluahkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT apabila doanya termakbul selepas jasad adiknya, Muhamad Saifol Azmi Adiauddin, 33, yang dikhuatiri lemas sejak semalam akhirnya ditemukan.
Mangsa ditemukan lima meter dari lokasi dilaporkan hilang ketika keluar menjaring ikan di Sungai Lepar, Ladang LKPP di sini kira-kira pukul 10.20 pagi hari ini.
Abang mangsa, Muhd. Hafizullah, 44, berkata, sebelum keluar rumah untuk ke lokasi pencarian, dia melakukan solat hajat dan berdoa adiknya segera ditemukan.
“Ketika operasi pencarian, pasukan penyelamat telah lalu di kawasan yang mana adik saya dikatakan tenggelam, tiba-tiba saya ternampak ada sesuatu timbul.
“Sejurus saya pastikan itu mayat adik saya… terus saya menjerit kepada anggota dan mereka segera datang mendapatkannya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mengulas lanjut, Muhd. Hafizullah berkata, adiknya tidak kerap turun ke sungai untuk menjaring ikan dan hanya akan berbuat demikian jika ada kelapangan masa.
“Hari itu (semalam) mungkinlah Allah SWT dah tentukan kejadian itu berlaku kepadanya dan saya reda dengan ketentuan ini,” katanya yang memaklumkan sempat bertemu adiknya tiga hari lalu sebelum kejadian.
Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Saadon Manan berkata, operasi mencari dan menyelamat berdepan kesukaran kerana faktor air berpusar dan keruh.
Katanya, walaupun keadaan sungai tersebut cetek tetapi ia mempunyai arus yang deras.
“Lokasi mangsa hilang pula berlaku di laluan air deras dan mempunyai kedalaman lebih dua meter.
“Operasi kali ini membabitkan enam anggota dari Balai Bomba Peramu dan pasukan penyelamat di air (PPDA) Pekan dan turut dibantu polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya. – UTUSAN