Ditimpa kemalangan sebelum daftar masuk ke USIM -

Ditimpa kemalangan sebelum daftar masuk ke USIM

DR. Sharifudin Md. Shaarani (kanan) menyantuni Hariz yang cedera di kepala dan ahli keluarga selepas mereka terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan ke USIM, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perjalanan seorang pelajar untuk mendaftar masuk ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diuji dengan musibah apabila kereta dinaiki bersama keluarga terbabas dalam kemalangan di Jalan Pintasan Kuantan – Kemaman dekat Gebeng, Kuantan di sini tengah malam tadi.

Disebalik musibah yang berlaku, pelajar tersebut, Hariz Zaimuddin, 19, berkata, ada insan berhati mulia dikenali sebagai ‘Azli Shah’ datang membantu mereka sekeluarga yang ditemui di tepi jalan.

Individu itu sanggup meminjamkan kereta miliknya supaya Hariz dapat mendaftar masuk ke USIM hari ini seperti mana pelajar-pelajar baharu lain.

Hariz berkata, kemalangan pada pukul 12.30 tengah malam itu berlaku ketika dia bersama ibu bapa dan tiga adiknya berusia empat hingga 12 tahun dalam perjalanan dari rumahnya di Pasir Puteh, Kelantan menuju ke USIM, Nilai di sini.

“Sampai di lokasi kejadian, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis jenis Toyota Sienta dipandu ayah, Zaimuddin Hassan, 48, terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

“Ketika kejadian saya sedang tidur, sedar sahaja sudah berlaku kemalangan dan terasa sakit di bahagian kepala dan pening,” katanya ketika ditemui ketika proses mendaftar masuk pelajar baharu di USIM di sini hari ini.

Akibat kemalangan itu, Hariz yang mengikuti program pengajian Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteraan Islam mengalami lebam di kepala akibat terhantuk di bahagian pendingin hawa kereta manakala adik-adiknya mengalami pening dan muntah.

Sementara itu, ibunya, Hasnizaa Seman, 42, berkata, kemalangan berlaku sekelip mata dan ketika kejadian keadaan jalan agak gelap.

“Walaupun terkejut dengan kemalangan yang berlaku, saya rasa gembira kerana pertama kali mahu hantar anak sulung belajar ke universiti.

“Di sebalik ujian ini, Allah datangkan orang-orang baik yang membantu seperti ‘Azli Shah’ orang muda berusia 30-an yang sanggup beri kami pinjam keretanya untuk datang ke USIM,” katanya.

Hasnizaa berkata, selepas membuat laporan polis kami enam beranak berhasrat untuk menaiki bas ke Nilai, tetapi nasib kami tidak baik apabila tertinggal bas dalam keadaan kelam kabut.

“Insan baik itu telah membelikan kami tiket bas secara dalam talian dan hantar ke Terminal Kuantan, tetapi kami tertinggal bas ketika sedang mengangkat bag.

“Kemudian tanpa fikir panjang, dia terus memberikan keretanya untuk dibawa sehingga ke USIM, Nilai tanpa meminta sebarang bayaran kerana katanya niat untuk membantu kerana Allah,” katanya.

Jelas Hasnizaa, Hariz merupakan anak sulung daripada enam beradik sebelum ini menuntut di Maahad Saniah Pasir Puteh, Kelantan turut mendapat tawaran ke Univeristi Al-Azhar, Mesir tetapi memilih untuk menyambung pelajaran ke USIM.

Mereka sekeluarga tiba di USIM, Nilai sekitar pukul 11.30 pagi tadi dan Hariz sempat bersiap dan menukar pakaian di stesen minyak berdekatan.

Dalam pada itu, Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr. Sharifudin Md Shaarani sempat meluangkan masa melawat Hariz sekekuarga dan pegawai perubatan USIM menjalankan rawatan awal terhadap mereka.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya