MUAR: Seorang lelaki yang bekerja dengan sindiket ceti haram atau along menerima balasan apabila dipenjara 12 tahun enam serta denda RM,7000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah membakar tiga buah rumah, bulan lalu
Hukuman itu dibuat Hakim Nariman Badruddin selepas Goh Poh Liang, 38, mengaku bersalah atas pertuduhan membakar tiga buah rumah bersama seorang lagi rakannya di Tangkak bulan lalu.
Walau bagaimanapun, rakannya, Li Ao Chen, 30, yang juga tertuduh pertama mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, Ao Chen dan Poh Liang didakwa melakukan khianat dengan api terhadap tiga rumah mangsa berusia 41, 55, dan 52 tahun di tiga lokasi berbeza, iaitu Taman Tangkak Jaya 4, Taman Tangkak Jaya dan Taman Tiara 2, Tangkak antara pukul 6 hingga 6.18 pagi, 14 September lalu.
Kedua’-duanya didakwa di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ariff Marzuki, manakala Poh Liang tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman empat tahun penjara dan denda RM2,000 bagi pertuduhan pertama dan kedua, manakala pertuduhan ketiga, penjara empat tahun enam bulan serta denda RM3,000 dengan semua hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh dia ditahan pada 14 September lalu.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan terhadapnya.
Sementara itu, mahkamah menetapkan 30 Oktober ini untuk sebutan semula kes terhadap Ao Chen yang diwakili peguam bela, Lau Yi Leong dengan membenarkan ikat jamin RM30,000 atas ketiga-tiga pertuduhan.
Tertuduh gagal membayar ikat jamin tersebut dan dibawa ke Pusat Koreksional Muar untuk menjalani tahanan sementara. – UTUSAN