Dera kanak-kanak usia enam tahun, tiga lelaki ditahan - Utusan Malaysia

Dera kanak-kanak usia enam tahun, tiga lelaki ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Tiga lelaki ditahan polis susulan aduan kes penderaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di sebuah rumah di sini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 32 hingga 36 tahun itu ditahan lebih kurang pukul 3 pagi pada 3 Oktober lalu secara berasingan di Taman Desa Rusa dan Taman Dataran Segar, Lukut di sini.

Katanya, mangsa yang berada dalam bilik di salah sebuah rumah juga berjaya diselamatkan.

“Suspek bekerja sebagai jurusolek dan hasil semakan rekod mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai kesalahan lampau melibatkan dadah dan jenayah. Ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek juga positif dadah.

“Soal siasat awal mendapati punca suspek memukul mangsa kerana mangsa degil dan membuang air kecil di merata tempat di dalam rumah. Selain itu turut dirampas senjata yang digunakan iaitu rotan bulu ayam dan pemanas air,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu Maslan berkata, kira-kira pukul 1.27 pagi, 3 Oktober lalu, pihak polis telah menerima aduan daripada seorang wanita berusia 67 tahun bahawa terdapat seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan menangis dan terdapat luka pada tubuh berada di sebuah rumah di Batu 4 di sini.

“Siasatan mendapati kanak-kanak tersebut merupakan anak yatim yang kematian bapa dan ditinggalkan ibu kandung sejak kecil seterusnya dijaga oleh pengadu di Klang, Selangor sebelum diserahkan kepada bapa angkat pada 2021.

“Pada awal bulan lalu, mangsa gagal dihubungi oleh pengadu seterusnya anak pengadu telah pergi ke rumah tersebut dan mendapati kanak-kanak berkenaan berada dalam keadaan cedera dan tanpa pakaian di atas lantai. Hasil aduan berkenaan tangkapan telah dibuat terhadap ketiga-tiga suspek,” katanya.

Menurut Maslan, suspek kini direman di Lokap Balai Polis Port Dickson sehingga 10 Oktober ini.

“Kertas siasatan telah dirujuk  kepada Pendakwaan Negeri Sembilan dan mendapat arahan pertuduhan ke atas seorang suspek berusia 36 tahun di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 manakala yang lain dijadikan saksi pendakwaan.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban pada 10 Oktober ini untuk pertuduhan,” kata beliau.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya