'DAP tak pernah mengemis, cadang Kerajaan Perpaduan di Johor' - Utusan Malaysia

‘DAP tak pernah mengemis, cadang Kerajaan Perpaduan di Johor’

ANTHONY LOKE SIEW FOOK (tengah) bersama-sama para perwakilan semasa merasmikan Konvensyen DAP Johor di Ekoflora, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: DAP tidak pernah sesekali mengemis apa-apa jawatan mahupun mencadangkan supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di negeri ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP ketika ini selesa memainkan peranan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pengimbang yang menyokong kerajaan negeri.

Justeru, beliau meminta supaya polemik Pakatan Harapan (PH) Johor mahu Kerajaan Perpaduan ditubuhkan dihentikan.

“DAP tak pernah dan tidak akan mengemis jawatan kerajaan negeri. Jika nak jawatan kerajaan, kita lawan pada pilihan raya dan menang.

“Nasihat saya pada ahli DAP supaya bersabar dan mainkan peranan kita sebagai ADUN dan Ahli Parlimen. Kita teruskan berkhidmat, pastikan kita kuat dan menang sokongan rakyat supaya dapat kekal setiap kerusi kita,” katanya semasa merasmikan Konvensyen DAP Johor di Ekoflora, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Timbalannya, Teo Nie Ching. 

Sebelum ini, beberapa pihak dalam PH, terutamanya Parti Amanah Negara (Amanah) terus mendesak supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Johor susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, akhir bulan lalu.

“Hakikatnya BN menang 40 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022 dan tubuhkan kerajaan dengan selesa. PH yang pada ketika itu ‘lawan’ BN, hanya menang 12 kerusi termasuk Muda satu kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) pula menang tiga kerusi.

“Itu hakikatnya yang perlu kita terima. Itu sebabnya saya berharap polemik baru-baru ini mengenai Kerajaan Perpaduan di Johor tidak perlu ditimbulkan dan dihentikan,” katanya.

Mengulas lanjut, Siew Fook yang juga Menteri Pengangkutan berkata, pendirian DAP sejak dahulu tidak pernah mencadangkan penubuhan Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

Malah, beliau sudah memaklumkan kepada Chin Tong sejak tahun lalu supaya tidak perlu bincang, ungkit mahu pun mencadangkan mengenai penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor.

“Kita menerima hakikat bahawa Kerajaan Johor hari ini ditubuhkan sebelum Kerajaaan Persekutuan atau Kerajaan Perpaduan ditubuhkan dan kita tidak mahu ganggu perjalanan kerajaan dan tak nak rumitkan keadaan.

“DAP tak pernah ‘buka buku’ pun pasal Kerajaan Perpaduan. Jadi, jangan salahkan DAP kerana kita tak pernah cadang, ungkit atau tuntut ia ditubuhkan. Jangan ada mana-mana pihak pun nak menyalahkan DAP,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya